
Semalam, 24 pelajar terbabit menerima biasiswa terbabit daripada Pengerusi PTPTN Norliza Abdul Rahim dalam satu majlis di Kuala Lumpur.
Norliza berkata myWaqafPTPTN menyasarkan sumbangan wakaf tunai daripada kerajaan, syarikat korporat, badan berkanun, badan bukan Kerajaan (NGO) dan orang awam serta entiti yang sah di sisi undang-undang dalam atau luar negara.
Menurutnya, lebih RM1.18 juta sumbangan telah diterima sejak program itu dilancarkan Februari lalu selain RM30 juta disumbangan kerajaan selaras pengumuman Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada pelancaran Bulan Wakaf Kebangsaan 2025.
“PTPTN merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada perdana menteri dan penyumbang atas keprihatinan ini,” katanya.
Menurutnya, setiap sumbangan ke myWaqafPTPTN akan layak mendapat potongan cukai 10% daripada pendapatan agregat di bawah subseksyen 44 (11C) Akta Cukai Pendapatan 1967.”

Pelajar Diploma Kejuruteraan Awam Muhamad Rida Hafeez Mohamad Johari, 19, berkata dia bersyukur kerana menjadi antara penerima biasiswa terbabit yang dapat membantunya menampung pengajian di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah.
“Ia mengurangkan beban keluarga dan paling penting saya tidak perlu fikir untuk membayar semula pembiayaan.
“Pastinya saya berazam menjadi sebahagian penyumbang kepada wakaf ini jika telah bekerja nanti,” katanya yang berasal dari Raub, Pahang.

Bagi pelajar Diploma Pengurusan Logistik di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) M Harshavardhan, biasiswa itu akan memberi semangat kepadanya untuk belajar bersungguh-sungguh.
“Inisiatif biasiswa di bawah myWaqafPTPTN ini beri peluang kepada ramai untuk melanjutkan pengajian bagi mengubah kehidupan menjadi lebih baik.
“Terima kasih kepada PTPTN kerana menyediakan peluang begini,” kata pelajar berasal dari Ampang, Selangor itu.