
Bekas senator itu berkata, anggota kerajaan persekutuan dan Sarawak, serta ahli politik sehaluan dengan mereka, harus mengetepikan kekecewaan masing-masing bagi membolehkan penyelesaian pertikaian semasa dicapai dengan cepat dan adil.

“Rundingan dibina atas dasar saling menghormati dan keikhlasan. Suara dan tindakan ekstrem tidak berguna serta tidak dialu-alukan kerana ia boleh menggagalkan penyelesaian menguntungkan Malaysia dan Sarawak.
“Apabila kedua-dua pihak setuju berunding, ia adalah dengan pemahaman bahawa dialog—bukan tindakan unilateral—akan menjadi jalan penyelesaian.
“Tetapi, apabila satu pihak memilih untuk bertindak secara sendiri sebelum penyelesaian muktamad dicapai, ia akan menghakis kepercayaan dan menjadikannya sukar. Jika tidak, mustahil mencapai penyelesaian menguntungkan kedua-dua pihak,” kata ketua Perikatan Nasional Sarawak itu kepada FMT.
Pada 8 Mac, Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof, berkata Petronas dan Petros sedang berunding suatu pengaturan komersial, termasuk bagaimana mentafsirkan Akta Kemajuan Petroleum 1974 (PDA) dan Ordinan Pengagihan Gas Sarawak 2016 (DGO) supaya boleh berfungsi bersama.
Ia susulan persetujuan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak Abang Johari Openg bahawa PDA akan kekal sebagai undang-undang utama yang mengawal selia sumber minyak dan gas.
Bercakap di Dewan Rakyat pada 17 Feb, Anwar juga berkata Petros akan dibenarkan melaksanakan peranan sebagai agregator gas di Sarawak bawah DGO, yang ‘mesti dibaca sekali’ dengan PDA.
Bagaimanapun, pada 12 Mac satu sumber mendakwa kerajaan Sarawak bertegas supaya semua pengguna gas domestik mesti mematuhi dan membeli gas daripada Petros. Sumber itu berkata, langkah tersebut akan mengganggu kontrak domestik dan antarabangsa sedia ada Petronas serta bercanggah dengan perjanjian diumumkan Anwar.
Jaziri berkata, semua pihak terlibat harus melihat gambaran yang lebih besar.
“Ia adalah isu nasional, kepentingan negara harus diutamakan dalam perkara ini,” kata Jaziri.
“Menjaga kepentingan Sarawak sahaja tidak menguntungkan negeri ini. Mungkin ia berkesan untuk jangka pendek, tetapi Petronas dan Petros perlu bekerjasama demi kemakmuran ekonomi jangka panjang di Sarawak.
“Apabila pelabur melihat Malaysia secara positif, Sarawak juga akan mendapat manfaat. Tetapi, jika Malaysia mengalami kerugian—contohnya, dari segi keuntungan atau daya tarikan pelaburan merosot—Sarawak akan turut terjejas.”
Beliau juga berkata, Petros masih belum mempunyai tenaga pakar dan kapasiti mencukupi untuk mengendalikan industri minyak dan gas Sarawak tanpa sokongan Petronas.
“Tiada siapa menginginkan situasi di mana pelaburan di Malaysia akan terjejas secara drastik. Jika tidak berhati-hati, kita akan ketinggalan berbanding negara jiran,” katanya.
Jaziri mengakui bahawa menegaskan tuntutan Sarawak terhadap Petronas mungkin kelihatan baik dari segi rekod.
“Tetapi baik untuk siapa?” soalnya.
“Sarawak mempunyai penduduk hanya beberapa juta, berbanding 600 juta di Asean. Kita tidak mahu menjadi ‘jaguh kampung’, jadi kita mesti bersikap realistik dalam urusan perniagaan.”
Beliau mengakui Sarawak mempunyai ‘hak untuk lebih autonomi’.
“Tetapi kita tidak boleh bunuh angsa emas begitu sahaja. Kita perlu memastikan angsa emas itu bertelur lebih banyak telur emas terlebih dahulu, supaya semua orang mendapat bahagian yang adil dan sokongan sewajarnya.”