
Hakim S Nantha Balan, yang mempengerusikan panel tiga hakim, berkata tiada merit dalam rayuan MyCC.
Turut bersidang dalam panel itu ialah Hakim Lim Chong Fong dan Ahmad Kamal Shahid.
Chong, yang menyampaikan keputusan sebulat suara, berkata Mahkamah Tinggi adalah betul dalam membatalkan cadangan denda itu.
“Tiada peruntukan (dalam Akta Persaingan 2010) untuk rayuan dalaman dibuat (kepada Tribunal Rayuan Persaingan) mengenai ‘keputusan yang dicadangkan’,” katanya.
Chong juga berkata suruhanjaya itu gagal memaklumkan kepada Grab untuk tujuan apa ia disiasat, seperti yang dikehendaki bawah undang-undang.
“Tiada bukti (di hadapan mahkamah) yang MyCC memaklumkan kepada Grab (mengenai siasatan),” tambahnya.
Mahkamah turut memerintahkan MyCC membayar RM50,000 kepada Grab sebagai kos guaman.
MyCC pada 3 Okt 2019 telah mencadangkan untuk mengenakan denda ke atas Grab kerana melanggar undang-undang anti-monopoli dengan mengenakan klausa sekatan ke atas pemandunya, yang menurut suruhanjaya itu boleh menjejaskan persaingan.
Suruhanjaya itu berkata klausa dalam kontraknya menghalang pemandunya daripada mempromosikan perkhidmatan e-panggilan lain di dalam kereta mereka.
MyCC juga berkata penggabungan Grab dengan Uber menyaksikan Grab menjadi pemain dominan dalam industri e-panggilan tempatan.
Grab kemudian memulakan cabaran undang-undang terhadap MyCC berhubung denda yang dicadangkan.
Grab diwakili oleh Malik Imtiaz Sarwar, manakala Tommy Thomas mewakili MyCC.