AGC perlu jelaskan DNAA warga emas tampar bukan Islam, kata Ahli Parlimen

AGC perlu jelaskan DNAA warga emas tampar bukan Islam, kata Ahli Parlimen

Jimmy Puah ingin tahu jika tuduhan terhadap Abdul Razak Ismail cacat kerana ia perlu kejelasan disebabkan kepentingan awam dalam kes itu.

Ahli Parlimen Tebrau Jimmy Puah berharap AGC dapat memberi jaminan kepada orang ramai pertuduhan baharu akan difailkan dalam kes itu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen kerajaan menggesa Jabatan Peguam Negara (AGC) menjelaskan sebab warga emas menampar pemuda bukan Islam makan di khalayak pada siang hari Ramadan dilepas tanpa dibebaskan (DNAA).

Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah, berkata kejelasan mengenai permintaan pihak pendakwaan di Mahkamah Majistret pagi tadi penting disebabkan kepentingan awam dalam kes itu.

“Apa sebabnya DNAA? Adakah tuduhan itu cacat? Bilakah dia akan didakwa semula? Perkembangan ini tidak memberi keyakinan kepada orang ramai.

“Ini kes yang mendapat perhatian awam tinggi, jadi timbalan pendakwa raya perlu menjelaskan sebabnya (untuk DNAA). Saya harap AGC boleh memberi jaminan kepada kami (pertuduhan baharu akan difailkan tidak lama lagi),” katanya kepada FMT.

Terdahulu, Abdul Razak Ismail, 65, mengaku bersalah atas pertuduhan sengaja mendatangkan kecederaan kepada seorang pemuda di kedai serbaneka sebuah pusat beli-belah di Johor Bahru pada 16 Mac lalu.

Razak kemudian mempertikaikan fakta kes yang dibacakan jurubahasa, menyebabkan Majistret A Shaarmini menolak pengakuan bersalahnya dan memerintahkan tertuduh melantik peguam bagi membela diri.

Tetapi, sebelum tarikh perbicaraan ditetapkan, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Fatihah Mohd Nizam, memaklumkan pihaknya diarahkan merujuk kes itu kepada ibu pejabat AGC.

Justeru, majistret memutuskan tertuduh diberikan DNAA dan akan dituduh semula kelak.

Sebelum ini, mangsa berusia 21 tahun dalam hantaran X mendakwa dia didatangi seorang warga emas bertanyakan sama ada dia beragama Islam ketika ingin menikmati makanan di sebuah pusat beli-belah.

Katanya, warga emas itu turut meminta untuk melihat kad pengenalan sebelum menamparnya. Anak suspek memohon maaf atas tindakan bapanya.

Mangsa berkata, dia menerima permohonan maaf anak suspek, tetapi perlu membuat laporan polis kerana ia serangan fizikal di tempat awam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.