
Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, Warisan dijangka memanfaatkan sentimen “parti tempatan” yang semakin popular di negeri itu.
Warisan tentunya akan turut terjejas, tetapi Awang Azman berkata, perpecahan undi mungkin memberi kesan lebih besar kepada PH Sabah.

Menurutnya, pengumuman terbaharu Warisan akan bertanding solo bagi melihat reaksi pesaing, sekutu dan penyokongnya sendiri.
Tetapi, beliau menjangkakan Warisan hanya akan membuat keputusan akhir berhubung perkara itu selepas Dewan Undangan Negeri Sabah dibubarkan.
Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, penyokong pakatan Warisan-PH pada PRN 2020 yang dikenali “Warisan Plus”, akan berdepan dilema jika kedua-duanya bersaing satu sama lain.

Menurutnya, perpecahan undi akan menyebabkan peluang mana-mana pihak memenangi kerusi berkurangan, yang boleh memberi kelebihan kepada calon lain.
Beliau berkata, kesannya bergantung kepada kawasan tertentu di mana PH dan Warisan bertembung, dengan Warisan dijangka mengambil sebahagian sokongan PH di pantai barat Sabah, manakala Warisan pula berisiko kehilangan lebih banyak di kawasan utara, jika berlaku perpecahan undi.
“Kawasan pantai timur Sabah ialah kubu kuat Warisan dan PH terlalu lemah untuk menembusinya. Di kawasan pedalaman, kedua-duanya lemah.”
Keputusan Warisan bertanding solo mendorong Pengarah Komunikasi PKR, Lee Chean Chung menggesa parti pimpinan Shafie Apdal itu mempertimbangkan semula keputusan berkenaan.
Beliau juga mempersoalkan sama ada Warisan mahu meninggalkan kerajaan perpaduan sebelum PRN Sabah atau “terus menikmati sumber kerajaan sambil bertindak seperti pembangkang (di negeri itu)”.
Lee kemudian ditegur Ketua Penerangan PKR Sabah, Razeef Rakimin yang meminta pemimpin pusat itu tidak campur tangan urusan parti lain.
Oh berkata, kenyataan Lee mungkin bertujuan mengekalkan perpaduan dalam kerajaan persekutuan kerana bimbang rakan kongsi PH lain mungkin mencontohi Warisan pada pilihan raya.
“PKR Sabah sebaliknya lebih prihatin dengan dinamik politik Sabah dan mungkin tidak selesa bekerjasama dengan Warisan,” katanya mengulas respons Razeef terhadap Lee.