
Laporan Forum Ekonomi Dunia (2023-2027) mendapati sebanyak 50% syarikat menghadapi kesukaran mencari graduan dengan kemahiran berfikir secara kritis, penyelidikan, dan kepemimpinan—kemahiran yang semakin penting dalam dunia pekerjaan berkembang pesat.
Bagi mengatasi jurang ini, Taylor’s University memperkenalkan Ijazah Sarjana Muda Falsafah, Politik dan Ekonomi (PPE) (Kepujian)—program direka khusus untuk melahirkan pemimpin masa depan yang analitikal, berfikiran strategik, berkepemimpinan, dan mahir dalam industri yang pelbagai.
Program PPE pertama di Malaysia ini menawarkan pendidikan selama tiga tahun, melengkapkan graduan dengan asas kukuh dalam menangani isu kritikal seperti pengurusan pentadbiran, kestabilan ekonomi, kelestarian, dasar global, dan keadilan sosial.
Dengan pendekatan menyeluruh dan praktikal, ijazah ini bertujuan melahirkan graduan bersedia menghadapi cabaran sosiopolitik dan ekonomi yang semakin kompleks.
Pada majlis pelancaran, Pro Naib Canselor Penglibatan Luar Taylor’s University, Profesor Dr Ong Kian Ming, menegaskan kepentingan melahirkan graduan berfikiran kritis dan mahir dalam industri yang pelbagai.
Katanya, pendekatan ini amat penting dalam membentuk pemimpin masa depan yang mampu memacu kemajuan negara.
Majlis pelancaran itu turut dihadiri bekas menteri kesihatan dan hos bersama Keluar Sekejap, Khairy Jamaluddin yang juga graduan PPE dari Universiti Oxford.
Beliau menyifatkan graduan PPE sebagai ‘Swiss Army Knife’ dalam dunia pekerjaan kerana keupayaan mereka menyesuaikan diri merentas industri.
“Mereka adalah ‘ultimate generalists’. Walaupun kepakaran dalam bidang tertentu penting, kita juga memerlukan individu yang mampu berfikir secara meluas, mendalami isu rumit, dan pada masa sama, melihat sesuatu secara menyeluruh,” katanya.
Khairy turut menekankan keupayaan graduan program ini yang akan memiliki kemahiran berfikir secara kritis dan keupayaan untuk mengurus situasi yang rumit dengan berkesan.
Selain itu, beliau menyatakan bahawa kemahiran ini akan menjadi bernilai dalam dunia yang semakin dipengaruhi teknologi kecerdasan buatan (AI), isu etika, dan keadilan sosial.
Program disokong pakar industri
Program PPE turut disokong oleh Panel Penasihat Industri (IAP) yang kukuh, dipimpin Ong yang juga bekas timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri. Tokoh berpengaruh lain yang menganggotai panel itu termasuk Khairy, Tony Pua, Profesor Farish Noor, Dr Tricia Yeoh, Dr Lee Hwok-Aun, dan Shahril Hamdan.

Pengarah Program PPE, Dr Deboshree Ghosh, menegaskan kerjasama dengan industri memainkan peranan penting dalam memastikan program ini sentiasa relevan dengan keperluan pasaran kerja.
“IAP akan memastikan pelajar kami memperoleh pengalaman berharga daripada pemimpin dalam bidang politik, perniagaan, dan pengurusan pentadbiran.
“Pengalaman ini akan melengkapi kurikulum kami, membolehkan graduan menguasai kemahiran dalam membuat keputusan strategik dan menyelesaikan masalah merentasi pelbagai industri,” katanya.
Panel penasihat terdiri daripada penggubal dasar, ahli ekonomi, pemimpin korporat, dan ahli akademik ini menyediakan sesi mentor, kerjasama penyelidikan, ceramah jemputan serta penglibatan media dan badan pemikir untuk graduan.
Usaha ini bertujuan memastikan graduan PPE bukan sahaja menguasai teori tetapi kemahiran praktikal yang merupakan aspek penting dalam dunia pekerjaan hari ini.
Sementara itu, Farish menekankan kepentingan pendidikan interdisiplin bagi membolehkan graduan memahami politik global.
“Dunia ini sememangnya kompleks dan memahami kerumitan ini memerlukan analisis menyeluruh —sesuatu yang hanya dapat dicapai apabila kita menggunakan pendekatan interdisiplin, menggabungkan pelbagai industri seperti sains politik, ekonomi, dan falsafah,” katanya.

Taylor’s University kini menerima permohonan untuk pengambilan pelajar bagi April dan September 2025, menawarkan 100% biasiswa yuran pengajian untuk kedua-dua pengambilan, atau bursari 10% eksklusif bagi kumpulan pelajar pertama bulan April.
Untuk maklumat lanjut mengenai program PPE di Taylor’s University, klik di sini.