
Beliau sebaliknya menggesa agar masjid, sebagai institusi yang penting dalam membangun dan memberdayakan ummah, diimarahkan menerusi penganjuran pelbagai kegiatan ilmiah dan keagamaan, terutama bagi golongan wanita dan belia.
“Imarahkanlah masjid… adakan kelas pengajian dan adakan ruang untuk wanita serta anak-anak muda. Jangan gunakan Islam itu hanya untuk porak-peranda dan menyerang, sebaliknya berikan kefahaman sebelum membuat keputusan… kefahaman berlandaskan al-Quran, sunnah Rasulullah.
“Negara ini bukan maju kerana teknologi dan pembangunan (semata-mata). Ya, (teknologi dan pembangunan) penting… tetapi selain daripada kemajuan dan kebendaan, ada ihsan, roh, adab dan moral yang baik dan pada Ramadan yang mulia ini, kita jadikan masjid sebagai pusat (ilmu),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Masjid Jamek Perai di Bukit Mertajam, yang turut dihadiri Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dan Timbalan Ketua Menteri I Mohamad Abdul Hamid, lapor Bernama.
Dalam pada itu, perdana menteri mengingatkan, selain hubungan sesama umat Islam, hubungan dengan masyarakat bukan Islam turut penting untuk dihormati.
“Nak berbeza pendapat boleh, (tapi) tak perlu cerca dan maki hamun serta tidak perlu untuk menidakkan orang.
“Kena ada perbezaan pendapat, tetapi tidak cepat menghukum,” katanya.
Pada majlis itu, Anwar bersetuju menyumbangkan RM100,000 agar masjid itu dapat dibangunkan sebagai pusat kegiatan keagamaan dan pembangunan insaniah anak-anak kariah.
Masjid Jamek Perai dibangunkan penduduk setempat pada 1979 dan telah dibaik pulih sepenuhnya pada 29 Mac 2021 bagi menggantikan bangunan lama, dengan kos RM5.5 juta.