
Titah baginda, masjid bukan hanya tempat beribadah tetapi juga sebagai pusat pembangunan ummah, medan penyatuan masyarakat, serta pusat penyebaran ilmu dan dakwah.
“Masjid hendaklah berfungsi sebagai pusat pembentukan akhlak dan sahsiah, seterusnya melahirkan generasi yang berilmu, beriman dan beramal soleh.
“Pengimarahan masjid tidak seharusnya terhad kepada solat berjemaah semata-mata, bahkan perlu diperluaskan melalui pelaksanaan program pengajian ilmu, pembangunan belia, kebajikan masyarakat serta pengukuhan institusi kekeluargaan,” titah baginda ketika berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Masjid Al-Kauthar, Kampung Paya, Beseri, Kangar semalam.
Berangkat sama, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Yang DiPertua Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Masjid Al-Kauthar merupakan mercu tanda baharu bagi penduduk sekitar kawasan Beseri, menggantikan struktur lama bagi menampung keperluan komuniti yang semakin berkembang.
Usaha pembinaan semula masjid terbabit bermula pada akhir 2021, dengan peruntukan kerajaan sebanyak RM3.5 juta serta sokongan wakaf dan sedekah jariah masyarakat yang mencecah RM4.4 juta.
Pada majlis itu, Tuanku Raja Perlis turut berkenan menyempurnakan simbolik perasmian masjid serta mengurniakan surat penghargaan kepada pewakaf sebagai tanda penghargaan atas sumbangan untuk menjayakan pembinaan masjid berkenaan.
Tuanku Raja Perlis juga menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah menyumbang, termasuk pewakaf, penyumbang, serta individu yang terlibat terhadap pembinaan masjid itu.
Baginda turut berharap masjid itu akan terus menjadi mercu penyatuan ummah, pusat penyebaran ilmu serta simbol kekuatan dan keutuhan Islam di Perlis.