
M Visvanathan, peguam mewakili lapan ibu bapa bukan Islam dalam satu tindakan terhadap pendakwah itu berkata, firmanya telah menerima salinan notis rayuan tersebut.
“Mahkamah Rayuan masih belum menetapkan tarikh pendengaran rayuan,” katanya kepada FMT.
Minggu lepas, Hakim Amarjeet Singh, yang membenarkan injunksi interim pada 3 Dis sementara menunggu saman oleh ibu bapa terbabit selesai, mengeluarkan alasan penghakiman bertulis bagi memudahkan pendengaran rayuan.
Hakim itu berkata, jelas bahawa Firdaus telah memberikan nasihat tentang cara menukar agama kanak-kanak bukan Islam tanpa pengetahuan ibu bapa mereka, dan cara menyembunyikan penukaran agama itu.
“Apa yang dilakukan oleh defendan (Firdaus) dalam video itu melanggar Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan, yang memperuntukkan bahawa agama seseorang bawah usia 18 tahun hendaklah diputuskan oleh ibu bapa atau penjaganya,” katanya.
Amarjeet berkata, beliau berpuas hati bahawa terdapat isu bona fide yang serius untuk dibicarakan dalam kes itu.
“Imbangan kemudahan dalam kes ini memihak kepada plaintif (ibu bapa),” tambahnya.
“Sekiranya injunksi mandatori interim tidak diberikan, plaintif akan mengalami risiko kerosakan yang tidak boleh diperbaiki jika mana-mana anak mereka memeluk Islam tanpa pengetahuan atau persetujuan mereka.”
Beliau berkata, potensi kerosakan kepada plaintif lebih tinggi jika video itu tidak dibuang.
“Keadilan dalam kes ini memihak pada plaintif. Pemberian wang tidak boleh menjadi pampasan yang mencukupi jika anak-anak plaintif bertukar agama tanpa pengetahuan mereka.
“Tambahan, penukaran agama ialah perkara yang serius di negara kita,” katanya.
Amarjeet juga berkata, beliau berpuas hati bahawa ibu bapa terbabit mempunyai kes yang luar biasa kukuh dan jelas, justeru mewajarkan pemberian injunksi mandatori interim.
Peguam yang mewakili Firdaus telah memaklumkan kepada mahkamah, video TikTok yang dipertikaikan itu telah dibuang.
Pada Jun tahun lepas, Firdaus menyiarkan video memberi nasihat kepada seorang lelaki tentang cara mengendalikan permintaan daripada kanak-kanak bawah umur yang ingin memeluk Islam secara rahsia.
Banyak laporan polis dibuat terhadap Firdaus selepas video itu tular di media sosial. Ekoran itu, polis memulakan siasatan bawah Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan kerana didakwa membuat kenyataan yang mendatangkan khianat awam.
Ibu bapa dalam saman mereka mahu mahkamah mengisytiharkan bahawa Firdaus telah menyalahi undang-undang apabila membuat kenyataan sedemikian.
Mereka juga memohon injunksi untuk memaksanya membuang video yang menyinggung perasaan itu dan menghalangnya daripada membuat kenyataan serupa pada masa akan datang.
Dalam pembelaannya, Firdaus menafikan membuat kenyataan itu.
Amarjeet akan mendengar saman pemula ibu bapa terbabit terhadap Firdaus pada 29 April.