3 makmal dadah milik sindiket antarabangsa terbongkar

3 makmal dadah milik sindiket antarabangsa terbongkar

Polis menahan tujuh individu termasuk tiga ahli kimia tidak bertauliah.

Ketua Polis Johor M Kumar menunjukkan peralatan memproses dadah yang dirampas dalam serbuan tiga makmal dadah dan sebuah kilang sekitar Iskandar Puteri dan Seri Alam, Johor. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sindiket dadah antarabangsa tumpas selepas polis membongkar tiga makmal serta sebuah kilang penyimpanan di Johor.

Pasukan narkotik IPK Johor dan IPD Iskandar Puteri membongkar makmal dan kilang terbabit di Iskandar Puteri dan Seri Alam menerusi operasi khas.

Lima serbuan antara 6 hingga 1 Mac lalu turut membawa kepada penahanan tujuh individu serta rampasan dadah bernilai RM12.9 juta, serta peralatan dan mesin bernilai RM1.1 juta.

Mereka yang ditahan terdiri daripada lima lelaki warga tempatan dan dua lelaki warga Taiwan, berusia 25 hingga 40 tahun.

Tiga daripada yang ditahan adalah ahli kimia tidak bertauliah, kata Ketua Polis Johor M Kumar.

“Kita masih menyiasat dari mana mereka mendapat kepakaran membuat dadah yang dipercayai juga untuk diedarkan ke pasaran antarabangsa,” lapor Berita Harian.

Sindiket ini dipercayai beroperasi sejak Julai 2024. Seorang daripada yang ditahan disyaki dalang sindiket dan polis sedang memburu saki baki anggotanya.

Polis turut menyita tiga kereta, lori, pelbagai jenis barang kemas, dan tiga akaun bank dalam operasi khas ini.

Jumlah keseluruhan rampasan dadah dan bahan kimia prekursor serta sitaan berjumlah RM14.4 juta.

Dadah yang dirampas adalah 42,500g serbuk methylenedioxymethamphetamine dan 182,800g syabu.

Menurut polis, dadah yang dirampas boleh digunakan seramai 1.05 juta penagih sekiranya terlepas ke pasaran.

Semua suspek direman sehingga 20 Mac. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya dan Seksyen 30(3) Akta Racun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.