Polis siasat kes lelaki Cina ditampar makan di bulan Ramadan

Polis siasat kes lelaki Cina ditampar makan di bulan Ramadan

Ketua Polis Johor Bahru Utara, Balveer Singh Mahindar Singh berkata kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan.

tampar di public
Ketua Polis Johor Bahru Utara, Balveer Singh Mahindar Singh berkata kejadian dipercayai berpunca suspek bertanya agama pengadu dan meminta MyKadnya namun pengadu enggan memberikan kad itu.
JOHOR BAHRU:
Polis membuka kertas siasatan berhubung insiden seorang lelaki bukan Muslim diherdik dan ditampar seorang individu semasa makan ketika Ramadan di kedai serbaneka di sebuah pusat beli-belah.

Ketua Polis Johor Bahru Utara, Balveer Singh Mahindar Singh berkata pihaknya menerima laporan daripada pengadu yang berusia 21 tahun berhubung kejadian itu pada 9.08 malam semalam.

“Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku pada 3.45 petang semalam. Dalam insiden itu, pengadu mendakwa dirinya ditampar sebanyak dua kali pada pipi sebelah kanan oleh seorang lelaki yang tidak dikenali.

“Kejadian dipercayai berpunca apabila lelaki tersebut bertanya tentang agama pengadu dan meminta MyKadnya namun pengadu enggan memberikan kad tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan dan jika sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara hingga setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Balveer Singh turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan insiden itu tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara di talian 07-5563122.

Terdahulu, Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang dilapor berkata insiden itu disifatkan sebagai tindakan provokasi selain tidak mencerminkan semangat perpaduan serta keharmonian negara berbilang kaum.

Aaron dipetik berkata tindakan itu harus dihentikan serta-merta dan tidak dibenarkan berkembang di negara yang menjunjung tinggi prinsip Rukun Negara.

Insiden itu juga tular dalam media sosial semalam menerusi dua video berdurasi 32 dan 44 saat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.