Keputusan CEC tak jejas kedudukan dalam Kabinet, kata Loke

Keputusan CEC tak jejas kedudukan dalam Kabinet, kata Loke

Setiausaha agung DAP itu berkata, beliau tak cadang rombakan Jemaah Menteri kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

kongres ke 18 dap
Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook berkata, beliau tidak akan mencadangkan rombakan Jemaah Menteri kerana pemilihan CEC semalam ialah urusan dalaman parti.
PETALING JAYA:
Keputusan pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP semalam tidak akan menjejaskan kedudukan menteri atau timbalan menteri daripada parti itu, kata Setiausaha Agung Loke Siew Fook.

Loke yang juga menteri pengangkutan berkata, beliau tidak akan mencadangkan rombakan Jemaah Menteri kerana pemilihan tersebut hanya membabitkan urusan dalaman parti.

“Jadi menteri atau timbalan menteri, sama ada mereka ahli CEC atau tidak pada waktu ini, mereka akan terus berkhidmat dengan jawatan sedia ada.

“Syor (pertukaran) datang daripada parti, tidak boleh daripada individu dan parti tidak syorkan apa-apa kecuali Perdana Menteri Anwar Ibrahim hendak buat perubahan.

“Saya selaku setiausaha agung DAP tidak akan membuat apa-apa cadangan kepada perdana menteri,” katanya, lapor Bernama.

Semalam, 30 ahli dilantik ke dalam CEC selepas Kongres Kebangsaan DAP ke-18 di Shah Alam.

Ahli Parlimen Damansara Gobind Singh Deo memperoleh undian tertinggi dengan 2,785 undi, diikuti Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen (2,631 undi) dan Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching (2,585 undi).

Turut tersenarai, Exco Selangor Ng Suee Lim (2,563 undi), Loke (2,508 undi), serta Ahli Parlimen Puchong Yeo Bee Yin (2,503 undi).

Antara kejutan besar pemilihan kali ini ialah kegagalan Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying, Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer, dan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok menempatkan diri dalam senarai 30 ahli CEC.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.