Disyaki terima rasuah RM1,500, 2 penguat kuasa direman 5 hari

Disyaki terima rasuah RM1,500, 2 penguat kuasa direman 5 hari

Sumber berkata dua suspek itu dipercayai menerima rasuah sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap seorang lelaki atas kesalahan memiliki dadah.

Dua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Setar untuk permohonan reman semalam. (Gambar SPRM)
PETALING JAYA:
Dua anggota penguat kuasa direman lima hari kerana disyaki menerima rasuah sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap seorang lelaki atas kesalahan memiliki dadah.

Perintah reman sehingga Khamis ini terhadap dua lelaki itu dikeluarkan Majistret Siti Norhidayah Mohd Noor susulan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Alor Setar semalam.

Sumber berkata, dua suspek dalam lingkungan 30 dan 40-an itu ditahan antara 4.30 hingga 5.30 petang Sabtu lalu ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kedah.

Menurutnya, dua suspek itu dipercayai meminta dan menerima rasuah kira-kira RM1,500 daripada seorang lelaki.

“Wang itu sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap lelaki terbabit atas kesalahan memiliki dadah,” katanya menurut Berita Harian.

Pengarah SPRM Kedah, Ahmad Nizam Ismail mengesahkan tangkapan dua suspek itu untuk disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.