2 didenda RM7,000 miliki puluhan senjata, bom tangan tiruan

2 didenda RM7,000 miliki puluhan senjata, bom tangan tiruan

Goh Wei Choon dan Cheng Meng Hong mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di depan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit.

gavel
Peguam meminta Mahkamah Majistret Bukit Mertajam mengenakan denda minimum atas alasan senjata tiruan itu bagi tujuan penjualan dan kegunaan perniagaan ‘paintball’ kedua-dua tertuduh. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Mahkamah Majistret Bukit Mertajam mendenda dua lelaki RM3,500 setiap seorang atas pertuduhan memiliki puluhan senjata, termasuk bom tangan tiruan, bulan lalu.

Harian Metro melaporkan Goh Wei Choon, 30, dan Cheng Meng Hong, 37, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di depan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit.

Goh yang bekerja sendiri didakwa memiliki 76 pistol dan senapang tiruan di sebuah premis di Jalan Perai Jaya 3, Bukit Mertajam pada 3.40 petang 24 Feb lalu.

Cheng yang juga juruwang didakwa memiliki 25 senjata dan tiga bom tangan tiruan di parkir sebuah pusat beli-belah di Jalan Baru Perai, Bukit Mertajam pada 3 petang 24 Feb lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan penjara tidak lebih setahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan yang mewakili dua tertuduh meminta denda minimum atas alasan tertuduh pertama hanya berpendapatan RM2,000 dan senjata tiruan itu bagi tujuan penjualan, manakala semua senjata dirampas dari tertuduh kedua untuk kegunaan perniagaan “paintball”.

Majistret mengenakan denda RM3,500 masing-masing dan dua tertuduh akan dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.