Poskad raya nostalgia Aidilfitri zaman-berzaman

Poskad raya nostalgia Aidilfitri zaman-berzaman

Hanya RM3 sesiapa saja boleh mengutus ucapan raya secara fizikal yang disifatkan lebih mempunyai nilai sentimental berbanding melalui media sosial.

pos
Poskad raya mendapat sambutan amat menggalakkan sejak dilancarkan tahun lalu.
KUALA LUMPUR:
Tahun lalu Pos Malaysia menerima kira-kira 200,000 kiriman kad raya sekali gus menunjukkan medium tradisional itu masih relevan.

Walaupun dihimpit teknologi, cara lama masih menjadi pilihan generasi kini, justeru Pos Malaysia memperkenalkan poskad raya bagi memastikan nostalgia kad ucapan itu terus ‘segar dan hidup’ zaman- berzaman.

Pengarah Operasi Pos Malaysia Berhad, Zaini Yahman, berkata hanya dengan RM3 sesiapa saja boleh mengutuskan ucapan raya secara fizikal yang disifatkan lebih mempunyai nilai sentimental berbanding melalui media sosial seperti WhatsApp.

“Secara purata kita terima 200,000 kad ucapan. Tahun ini dijangka sama macam tahun lepas,” katanya dalam wawancara bersama FMT di ibu pejabat Pos Malaysia.

pos
Pengarah Operasi Pos Malaysia Berhad Zaini Yahman berkata kad raya masih relevan kerana ada dalam kalangan rakyat masih memilih mengutus ucapan secara tradisional.

Beliau mengakui zaman sudah berubah termasuk cara mengirim ucapan Hari Raya selepas kewujudan pelbagai aplikasi media sosial.

Namun, katanya kad raya masih relevan kerana ada dalam kalangan rakyat masih memilih mengutus ucapan secara tradisional.

Sambutan menggalakkan

Zaini berkata, sejak dilancarkan tahun lalu poskad raya mendapat sambutan amat menggalakkan.

Katanya, Pos Malaysia memilih poskad berbanding kad kerana lebih mudah dan murah.

pos
Antara poskad raya yang boleh didapati di Pos Malaysia.

“Tidak perlu sampul, hanya perlu beli poskad raya yang beserta setem. Tulis ucapan pada rakan atau saudara mara, selepas itu masukkan di dalam peti merah. Nanti ‘abang posmen’ akan hantar,” katanya.

Sementara itu, beliau memaklumkan syarikat tertua di Asia Tenggara tersebut mencatatkan penghantaran kad raya terbanyak pada 2010 iaitu lebih lima juta alamat di seluruh negara.

Bagaimanapun, Zaini mengakui saban tahun Pos Malaysia yang wujud sejak lebih 200 tahun lalu menerima tempias penyusutan kiriman kad raya akibat perubahan teknologi, dan paling sedikit ketika Covid-19 iaitu hanya 98,000.

pos
Koleksi poskad raya Pos Malaysia.

Menyifatkan kad raya mempunyai sentimental tidak ternilai yang mengembalikan nostalgia zaman kanak-kanak, Zaini berkata penggunaan medium itu perlu disemarakkan.

“Kad raya mesti terus disemarakkan dan melalui media sosial juga boleh mengajak orang ramai menggunakan kad raya yang dapat mengekalkan ucapan secara tradisional.

“Pengumpul kad raya juga boleh mendapatkannya untuk digantungkan di rumah ketika Aidilfitri,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.