
Syahredzan terpilih ke CEC bersama Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman, dengan masing-masing meraih 2,065 dan 1,943 undi daripada perwakilan.
Sidang CEC kemudian melantik Syahredzan sebagai salah seorang daripada empat naib pengerusi DAP, manakala Syefura jadi penolong setiausaha publisiti.
“Orang mungkin kata DAP masih sebuah parti dengan majoriti ahli bukan Melayu, tetapi kita perlu ingat kita telah mencapai kejayaan besar,” kata Syahredzan kepada FMT pada penutup konvensyen DAP.
“Tiga tahun lalu hanya Syefura yang berjaya masuk 30 teratas (dalam pemilihan CEC). Keputusan hari ini menggambarkan kepelbagaian dalam DAP dan juga menunjukkan ahli parti ‘buta warna’.
“Dua daripada enam calon Melayu berjaya menyertai pimpinan tertinggi, yang menunjukkan ahli DAP tidak mementingkan kaum seseorang, tetapi keupayaan dan sumbangan kepada parti.”
Syahredzan memberi penghormatan kepada veteran parti, Lim Guan Eng, yang dilantik sebagai penasihat, kerana membuka laluan kepada DAP untuk menjadi lebih inklusif dan berbilang kaum.
Katanya lagi, beliau akan menggunakan jawatan naib pengerusi untuk mendekati pengundi Melayu, yang bukan penyokong tradisi DAP.
“Semasa Lim jadi setiausaha agung, beliau bersungguh-sungguh memulakan usaha untuk merekrut lebih ramai orang Melayu.
“Ini perlu diteruskan dan saya melihat peranan naib pengerusi bukan sahaja untuk mengukuhkan sokongan sedia ada tetapi juga meraih sokongan kelompok yang secara tradisinya bukan penyokong kami,” katanya.