Tiada pesaing, Ezri kekal presiden Badan Peguam

Tiada pesaing, Ezri kekal presiden Badan Peguam

Murshidah Mustafa kekal sebagai setiausaha selepas dicabar, manakala jawatan naib presiden dan bendahari juga tidak ditandingi.

Malaysian Bar AGM
Ezri Abdul Wahab, diapit Murshidah Mustafa dan B Anand Raj, pada Mesyuarat Agung Tahunan Badan Peguam.
KUALA LUMPUR:
Ezri Abdul Wahab kembali menjadi presiden Badan Peguam susulan tiada pertandingan, menjadikannya memegang jawatan itu bagi penggal kedua.

Ezri pertama kali dipilih sebagai presiden tahun lalu.

Pada sidang media selepas selesai Mesyuarat Agung Tahunan Badan Peguam ke-79, Ezri mengumumkan Murshidah Mustafa kekal sebagai setiausaha, selepas dicabar.

Ezri berkata, Murshidah dipilih semula ke jawatan itu, namun tidak mendedahkan identiti pencabarnya.

Semalam, FMT melaporkan Murshidah dijangka berdepan cabaran daripada ahli jawatankuasa Peter Douglas, dari Badan Peguam Kuala Lumpur.

Ezri berkata, Naib Presiden B Anand Raj dan Bendahari R Jayabalan juga kembali memegang jawatan kerana tiada pertandingan.

Mengikut Akta Profesion Undang-undang (LPA), seramai 42 ahli Majlis Peguam akan memilih empat pemegang jawatan untuk penggal berikutnya pada penghujung mesyuarat tahunan.

Majlis berkenaan merangkumi 16 ahli dipilih menerusi undi peguam di seluruh negara, dua wakil daripada setiap 12 jawatankuasa peguam negeri di Semenanjung (termasuk Kuala Lumpur), dan presiden dan naib presiden sebelum ini.

Ezri berkata, 722 ahli hadir mesyuarat tersebut dan usul mengurangkan levi dana bangunan daripada RM250 kepada RM100 setahun diluluskan mulai tahun depan.

Usul menaikan yuran kepada Lembaga Tatatertib Peguam Bela dan Peguam Cara daripada RM60 kini kepada RM120 turut diluluskan. Yuran tersebut bertujuan menampung semua perbelanjaan berkaitan prosiding tatatertib diadakan lembaga di bawah LPA.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.