
Seorang peguam berkata, semua 42 ahli Badan Peguam menyokong resolusi semakan itu pada Mesyuarat Agung Tahunan ke-79, di Wisma MCA.
“Resolusi dilulus sebulat suara dengan tanpa ahli berkecuali,” katanya kepada FMT sambil menambah ia juga mencerminkan sokongan tidak berbelah bahagi 24,000 peguam dari Semenanjung untuk hakim mahkamah atasan daripada campur tangan eksekutif dan badan perundangan.
Alex De Silva mencadangkan resolusi berkenaan dan disokong Razlan Hadri.
Usul pertama meminta Badan Peguam mengutuk keras sebarang bentuk campur tangan dalam urusan kehakiman, termasuk sesiapa sahaja yang tidak berkenaan cuba memintas rangka kerja Perlembagaan dan berkanun bagi lantikan kehakiman sepertimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman.
Ia juga menggesa kerajaan menubuhkan suruhanjaya siasatan bebas untuk menyiasat secara menyeluruh dan telus susulan ucapan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, pada pembukaan tahun undang-undang pada Januari.
Usul kedua pula menggesa Badan Peguam mengambil tindakan segera, sama ada menerusi kenyataan awam atau prosiding undang-undang, ke atas mana-mana maklumat boleh dipercayai mengenai cubaan meremehkan kebebasan kehakiman atau mempengaruhi pelantikan hakim secara tidak wajar.
Ia juga menyatakan Badan Peguam mesti komited mempertahankan kebebasan kehakiman tanpa takut dan pilih kasih.
Resolusi tersebut dibentang memandangkan peguam bimbang apa jua campur tangan kehakiman akan memporak-perandakan kemakmuran ekonomi negara dan keyakinan perniagaan.
Dalam pembukaan tahun undang-undang, Tengku Maimun berkata kebebasan kehakiman mesti dilindungi dalam apa cara sekalipun dan campur tangan luar dalam pelantikan atau kenaikan pangkat hakim tidak boleh diterima.