Pemimpin Umno dakwa Teresa utama kerjaya politik dalam tangkap bekas pembantu

Pemimpin Umno dakwa Teresa utama kerjaya politik dalam tangkap bekas pembantu

Puad Zarkashi mendakwa naib pengerusi DAP itu 'play safe'.

Puad Zarkashi Teresa Kok
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Puad Zarkashi berkata kenyataan Teresa Kok secara tidak sengaja mendedahkan mengapa beliau memutuskan tidak melaporkan salah laku itu kepada SPRM.
PETALING JAYA:
Seorang ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno mendakwa Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok mengutamakan kerjaya politiknya berdasarkan responsnya terhadap kontroversi menyelubungi bekas pembantunya.

Dua hari lalu, Kok menyuarakan kebimbangan terhadap peluang mempertahankan jawatannya dalam pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP susulan siasatan ke atas bekas pembantunya.

Beliau memberitahu Malaysiakini, ramai ahli tidak berpuas hati dengannya apabila beliau memutuskan untuk memecat dan menamatkan perkhidmatan pembantunya tahun lalu selepas mendapati peruntukan Parlimennya diseleweng.

Kini, Kok bimbang beliau tidak akan mendapat undi perwakilan yang mengenali bekas pembantunya dalam pemilihan Ahad ini.

Puad Zarkashi dalam catatan Facebook berkata, kenyataan Kok secara tidak sengaja mendedahkan mengapa beliau memutuskan tidak melaporkan salah laku itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Dia ‘play safe’. Jawatan politik lebih penting.”

Minggu lalu, Kok dilaporkan berkata, beliau dipersalahkan secara tidak adil oleh beberapa ahli parti dan keluarga bekas kakitangannya atas keputusan SPRM menyoal siasat dua bekas pegawainya.

Menjawab tuduhan di media sosial mengenai dakwaan pembabitannya, Ahli Parlimen Seputeh itu berkata, beliau mahupun kakitangannya tidak membuat laporan kepada agensi antirasuah berkenaan.

Semalam, Kok memberitahu FMT, pemecatan bekas pembantunya memadai untuk mempertahankan keputusan tidak melaporkannya kepada pihak berkuasa.

Baru-baru ini, SPRM mereman dua bekas pegawai Kok atas dakwaan meminta dan menerima rasuah RM500,000. Mereka dibebaskan dengan jaminan kemudian.

Sumber SPRM berkata, rasuah itu bagi membantu meluluskan permohonan pembiayaan RM1.5 juta bagi pembekalan papan pintar interaktif ke beberapa sekolah di Kuala Lumpur.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.