
Bagaimanapun, pengerusi mahkamah Augustine Anthony memutuskan Ang Chin Gaik hanya berhak menerima gaji tertunggak selama 20 bulan kerana beliau belum berkhidmat selama setahun penuh dengan WV Services Malaysia Sdn Bhd.
Oleh itu, mahkamah tidak dapat menganugerahkan pampasan sebagai ganti pemulihan jawatan.
Beliau berkata, Ang yang menerima gaji bulanan terakhir sebanyak RM68,836.11, bernasib baik kerana syarikat itu menganggapnya sebagai pekerja tetap dan bukan dalam tempoh percubaan.
Mahkamah mengarahkan pembayaran gaji tertunggak selama 20 bulan berjumlah RM1,380,722.20, termasuk elaun bulanan RM200.
Selain tidak hadir dalam perbicaraan, syarikat tersebut, yang merupakan penganjur acara, latihan dan persidangan, juga gagal mengemukakan sebarang hujahan dalam kes ini.
“Selepas berpuas hati bahawa syarikat tidak hadir di mahkamah meskipun dimaklumkan tarikh perbicaraan, mahkamah meneruskan kes dengan memanggil penuntut untuk menyatakan kesnya bagi memastikan penyelesaian yang cepat seperti yang dibenarkan di bawah Kaedah-Kaedah Mahkamah Perusahaan 1967,” kata Anthony dalam keputusan setebal 25 halaman yang dikeluarkan minggu lalu.
Beliau berkata kerana syarikat tidak mengemukakan sebarang bukti untuk dipertimbangkan mahkamah, menyebabkan bukti dikemukakan Ang tidak dicabar sama sekali.
Ang mendakwa beliau dipecat pada 18 Jun 2022 tanpa sebarang alasan diberikan.
Beliau mula bekerja sebagai pengarah syarikat pada 11 Dis 2015 dan ditawarkan jawatan sebagai pengurus besar pada 1 Mei 2016.
Bagaimanapun, syarikat menamatkan perkhidmatannya sebagai pengurus besar pada 4 Dis 2020, namun beliau kekal sebagai pengarah tanpa gaji.
Pada 15 Nov 2021, Ang sekali lagi dilantik sebagai pengurus besar tetapi dipecat pada 18 Jun 2022, selepas hanya tujuh bulan berkhidmat.
Anthony berkata peguam syarikat menarik diri daripada mewakili WV Services pada 6 Ogos tahun lalu, dan tiada peguam lain dilantik bagi perbicaraan yang bermula pada 25 Nov tahun lalu.
Ang, yang diwakili peguam Muhendaran Suppiah dan Carmelia Yong, mendakwa syarikat itu melanggar prinsip keadilan semula jadi, mengamalkan ketidakadilan dalam hubungan majikan-pekerja, serta menindasnya.
Beliau turut menyatakan bahawa syarikat menafikan haknya sebagai pekerja sehingga umur persaraan.
Muhendaran berkata beliau menerima arahan daripada Ang untuk memfailkan tindakan bagi ketidakpatuhan terhadap perintah mahkamah sekiranya majikan gagal membayar pampasan dalam tempoh 30 hari bermula dari 3 Mac.