Fadhli gesa audit peruntukan Ahli Parlimen kerajaan susulan siasatan SPRM

Fadhli gesa audit peruntukan Ahli Parlimen kerajaan susulan siasatan SPRM

Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari ulas kenyataan Ahli Parlimen Teresa Kok, yang berkata beliau tidak pernah meluluskan peruntukan RM1.5 juta untuk peralatan elektronik.

Fadhli Shaari kata audit forensik ke atas peruntukan Ahli Parlimen kerajaan harus jadi keutamaan, mengulas kenyataan Teresa Kok susulan penahanan dua individu oleh SPRM baru-baru ini.
PETALING JAYA:
Kerajaan digesa melaksanakan audit forensik terhadap peruntukan yang diberikan kepada Ahli Parlimen kerajaan bagi memastikan tiada ketirisan, memandangkan ia membabitkan jumlah yang besar.

Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari menarik perhatian kepada kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa pada 13 Feb lalu, bahawa setiap Ahli Parlimen kerajaan menerima peruntukan sebanyak RM1.7 juta setahun bagi tempoh 2023 hingga 2024.

“Audit forensik ini lebih perlu dilakukan terhadap Ahli Parlimen yang juga memegang jawatan sebagai menteri. Mereka sudah tentu sibuk menguruskan tugasan di kementerian masing-masing dan kerap kali perlu keluar negara untuk mencari pelabur serta menjalankan tugas rasmi kerajaan. Dengan beban tugas yang tinggi, mereka pastinya tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk memberi tumpuan kepada pengurusan peruntukan yang mereka terima sebagai Ahli Parlimen.

“Oleh itu, risiko berlaku ketirisan dan salah guna dana lebih tinggi dalam kalangan mereka, menjadikan audit ini satu keperluan mendesak bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti dalam perbelanjaan kerajaan,” menurut kenyataan.

Fadhli sebelum itu merujuk kenyataan Ahli Parlimen Teresa Kok susulan penahanan dua individu termasuk bekas pegawai khasnya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), baru-baru ini, kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM500,000 sebagai balasan membantu meluluskan dana projek mesra rakyat.

Menurut sumber, rasuah itu bagi membantu meluluskan permohonan dana projek mesra rakyat bernilai kira-kira RM1.5 juta membabitkan pembekalan ‘interactive smart board’ kepada beberapa sekolah sekitar Kuala Lumpur.

Kok berkata beliau tidak pernah meluluskan peruntukan RM1.5 juta untuk peralatan elektronik bagi 16 buah sekolah.

“Jika benar kerajaan mengutamakan ketelusan dan integriti, audit forensik ke atas peruntukan Ahli Parlimen kerajaan harus menjadi keutamaan sekarang,” kata Fadhli.

Terdahulu, bekas pegawai Kok, Edmund Teoh, nafi dakwaan beliau meminta dan menerima rasuah RM500,000.

Teoh mengesahkan dia dibebaskan oleh SPRM pada Ahad dan berkata tiada pertuduhan difailkan terhadapnya, menurut kenyataan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.