Tumpuan asal hanya cari Zayn Rayyan, penyiasat kanan beritahu mahkamah

Tumpuan asal hanya cari Zayn Rayyan, penyiasat kanan beritahu mahkamah

Nor Zaharuddin Sanip berkata, polis tidak mempunyai suspek pada awal siasatan.

Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, dilaporkan hilang pada 5 Dis 2023, dan mayatnya ditemukan pada hari berikutnya di sebatang anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman, Damansara Damai.
PETALING JAYA:
Seorang pegawai penyiasat kanan dalam kes pengabaian Zayn Rayyan Abdul Matiin memberitahu Mahkamah Sesyen, polis pada mulanya tidak mempunyai suspek kerana tumpuan utama mereka adalah mencari kanak-kanak yang hilang itu.

Nor Zaharuddin Sanip berkata demikian ketika ditanya sama ada mereka mengesyaki mana-mana penduduk Blok R, Apartment Idaman, di mana keluarga Zayn Rayyan menetap, terlibat dalam kehilangannya.

“Pada awalnya, tumpuan kami hanya untuk cari budak hilang. Tiada suspek,” katanya ketika diperiksa semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Aqharie Durranie Aziz.

Nor Zaharuddin juga berkata, beliau bertanya kepada ibu Zayn Rayyan, Ismanira Abdul Manaf, maklumat lanjut mengenai anaknya, tetapi dia tidak dapat menjawab soalannya.

“Saya tanya kepada ibunya, (soalan) seperti bagaimana (Zayn Rayyan) hilang … dan minatnya, tetapi (Ismanira) tak dapat jawab.

“Jadi, saya arahkan pegawai penyiasat Nina Syamimi Syamsuddin untuk terus rakam keterangannya di dalam kereta polis,” kata Nor Zaharuddin.

Terdahulu, ketika pemeriksaan balas, peguam bela Haresh Mahadevan mencadangkan kepada Nor Zaharuddin bahawa setiap penduduk Blok R boleh jadi suspek dalam siasatan polis.

Zayn Rayyan, 6, dilaporkan hilang pada 5 Dis 2023, dan mayatnya ditemukan pada hari berikutnya di sebatang anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman, Damansara Damai.

Dia dipercayai dibunuh selepas bedah siasat mendedahkan kecederaan di leher dan badannya konsisten dengan tindakan mempertahankan diri.

Ismanira dan suaminya, Zaim Ikhwan Zahari, kedua-duanya berusia 30 tahun, didakwa pada Jun tahun lepas atas tuduhan mengabaikan Zayn Rayyan dengan cara yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal.

Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000, penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, mahkamah membenarkan pihak pendakwaan meminda tuduhan terhadap pasangan itu, dengan menyatakan lokasi sebenar kesalahan itu didakwa dilakukan.

Tuduhan dipinda untuk menyatakan bahawa kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar Blok R sehingga ke anak sungai berhampiran pangsapuri itu.

Sebelum ini, tuduhan menyatakan kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan PJU 10/1, Damansara Damai, antara 12 tengah hari pada 5 Dis 2023 dan 9.55 malam keesokan harinya.

Kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah atas tuduhan pindaan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.