Pemimpin Umno, PAS gesa kerajaan dedah audit forensik SEB

Pemimpin Umno, PAS gesa kerajaan dedah audit forensik SEB

Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari mempersoalkan mengapa audit forensik dibuat itu tidak pernah diterbitkan kepada umum.

Fadhli Shaari n akmal saleh
Ahmad Fadhli Shaari mahu kerajaan amal prinsip akauntabiliti manakala Dr Akmal Saleh desak hukuman setimpal jika ada salah laku dalam Sapura Energy Berhad.
PETALING JAYA:
Pemimpin PAS dan Umno menggesa kerajaan mendedahkan kepada umum audit forensik yang dibuat terhadap Sapura Energy Berhad (SEB) sebelum dana RM1.1 bilion disuntik ke dalam syarikat itu.

Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, dalam kenyataan mempersoalkan mengapa audit forensik dikatakan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah dibuat itu tidak pernah diterbitkan kepada umum.

Malah, beliau mendakwa tiada bukti konkrit audit itu benar-benar dijalankan oleh Ernst & Young (EY) yang mengeluarkan pendapat tanpa pengubahsuaian terhadap penyata kewangan SEB bagi 2024.

“Jika audit forensik benar-benar dijalankan, sepatutnya wujud penemuan ketirisan kewangan, analisis perakaunan kreatif atau fraudulent misstatement (penyataan palsu) dalam laporan kewangan syarikat.

“Audit forensik tidak sekadar menilai penyata kewangan, tetapi menyelidik kemungkinan berlaku penipuan kewangan, pemalsuan laporan kewangan, dan pengubahan wang haram yang disengajakan,” katanya di Facebook.

Justeru, Ahli Parlimen Pasir Mas mendesak kerajaan mendedahkan laporan audit itu kepada umum jika benar-benar komited terhadap prinsip akauntabiliti fiskal dan ketelusan korporat.

“Jika tidak, kenyataan mengenai audit forensik Sapura tidak lebih daripada sekadar justifikasi politik untuk keputusan bercanggah dengan janji terdahulu,” katanya merujuk kepada pendirian Anwar untuk tidak ‘bailout’ atau menyelamatkan syarikat besar disuarakan ketika menjadi pembangkang.

Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh, senada dengan Fadhli yang meminta audit forensik didedahkan kepada umum.

“Jika ada salah laku daripada Sapura perlu dikenakan hukuman setimpal kepada mereka,” katanya yang juga exco Melaka.

Terdahulu, Anwar berkata kerajaan telah melaksanakan audit forensik dengan ketekunan tambahan wajar akan dilaksanakan sebagai prasyarat dalam memuktamadkan penstrukturan semula dan suntikan modal RM1.1 bilion kepada SEB.

Kelmarin, SEB mengumumkan memperoleh pelaburan RM1.1 bilion, menerusi langganan saham pinjaman boleh tebus boleh tukar (RCLS) pada nilai nominal oleh Malaysia Development Holdings Sdn Bhd (MDH).

Anwar menegaskan, tindakan itu bukan untuk menyelamatkan syarikat besar atau pengurusan tertingginya sebaliknya membantu 2,000 vendor yang 80% daripadanya adalah pengusaha Bumiputera.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.