
Rais dalam catatan di Facebook pada Khamis mengucapkan ‘tahniah’ kepada ‘rakyat Cina’ kerana jadi ‘penduduk tetap’ bawah program MM2H. Beliau mengulas berita melaporkan sebanyak 22,282 permohonan MM2H diluluskan sejak 2015, yang mana pemohon dari China paling ramai.
“Peserta MM2H tidak akan bertukar menjadi penduduk tetap. Mereka hanya MM2H dan ramai peserta tidak benar-benar tinggal di sini,” kata Presiden Persatuan Perunding Program MM2H, Anthony Liew.
MM2H diperkenalkan kerajaan sebagai satu cara untuk warga asing berpendapatan tinggi bersara di Malaysia bagi suatu tempoh yang perlu diperbaharui.
MM2H berjalan sejak 2002 bawah tujuh perdana menteri termasuk ketika Rais dalam kerajaan.
Liew menjelaskan, peserta MM2H yang berada di Malaysia perlu melalui proses pembaharuan sebaik sahaja tamat tempoh diberikan.
Beliau berkata, dalam kalangan peserta ada juga yang berniaga di negara asal tetapi menyekolahkan anak di Malaysia.
“Komen tersebut adalah tidak bertanggungjawab dan akan menimbulkan salah faham dan imej negatif kepada program,” katanya.
Pada Sabtu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing dilaporkan bimbang naratif yang mengelirukan berhubung MM2H boleh mencetuskan ketegangan.
Tiong menjelaskan, program MM2H terbuka kepada pemohon dari seluruh dunia.
Pada 11 Mac lalu, agensi teknologi hartanah, IQI melaporkan pemohon dari China membentuk kurang daripada 1/3 daripada pemegang pas yang memperoleh visa tahun lalu.
Ini menunjukkan MM2H menarik minat individu dari pelbagai negara, menurut CEO IQI, Kashif Ansari.
Menurut laporan itu lagi, seramai 24,765 daripada 53,000 pemegang pas MM2H semasa adalah dari China, diikuti Australia (9,265), Korea Selatan (4,940), Jepun (4,733), Bangladesh (3,604), dan UK (2,234).
Terdapat kurang daripada 1,000 pemegang pas dari AS, Singapura, Taiwan dan India.
Katanya lagi, program MM2H yang diolah semula menyaksikan RM455.8 juta diletakkan di bank tempatan dalam bentuk simpanan tetap sejak Jun 2024.
Kashif menjelaskan, pelaburan RM455.8 juta itu dimanfaatkan dalam dua cara, iaitu wang tersebut beredar dalam ekonomi melalui simpanan tetap di institusi kewangan tempatan, membiayai pinjaman dan pembangunan.
MM2H juga menyalurkan pelaburan baharu ke dalam pembelian hartanah, kebiasaannya untuk membeli rumah mewah, lalu menyokong pembinaan rumah baharu dan pembelian barangan berkaitan.