Buka ruang kepada lebih banyak perbahasan di Parlimen, pakar gesa kerajaan

Buka ruang kepada lebih banyak perbahasan di Parlimen, pakar gesa kerajaan

Shad Saleem Faruqi juga kata kerajaan tidak seharusnya merahsiakan RUU sehingga saat-saat akhir.

Prof Emiritus Dr Shad Saleem Faruqi
Shad Saleem Faruqi menyifatkan RUU Perkhidmatan Parlimen sebagai ‘asas’, namun mendapatkan kebebasan bagi Parlimen suatu ‘proses evolusi’.
KUALA LUMPUR:
Pakar undang-undang perlembagaan menggesa ruang diberi kepada Ahli Parlimen untuk membahaskan rang undang-undang persendirian, mencadangkan amalan itu boleh beri manfaat kepada kerajaan dalam jangka masa panjang.

Shad Saleem Faruqi berkata kerajaan harus guna pakai pendekatan United Kingdom yang memastikan kira-kira 20% daripada semua undang-undang yang diluluskan berasal daripada Ahli Parlimen.

“Ahli Parlimen mempunyai hak di bawah undang-undang untuk memperkenalkan undang-undang baharu yang dipanggil rang undang-undang (RUU) persendirian. Tetapi dalam 65 tahun, tiada rang undang-undang persendirian pernah diluluskan di Parlimen.

“Banyak diperkenalkan tetapi tidak ada yang diambil oleh kerajaan (untuk dibahaskan),” katanya kepada FMT dalam satu wawancara eksklusif.

RUU persendirian cenderung diletakkan di bahagian bawah senarai perundangan untuk dibahaskan di Dewan Rakyat, menjadikan ia mustahil untuk dibentangkan.

Beliau turut menyatakan sokongan pada RUU Perkhidmatan Parlimen yang diluluskan baru-baru ini.

Walaupun menyifatkan kandungannya sebagai “asas”, Shad kata RUU itu langkah pertama yang perlu dalam “proses evolusi” mengukuhkan Parlimen dan mendapatkan kebebasan daripada badan eksekutif.

Menurut Shad, kerajaan kadangkala mengelak daripada mengajukan RUU mengenai perkara kontroversi tertentu kerana bimbang kehilangan undi pada PRU akan datang.

“Namun kepentingan negara memerlukan langkah-langkah seperti cukai barang dan perkhidmatan (GST). Atas sebab ekonomi, ia diperlukan hari ini, tetapi ia kontroversi,” katanya.

Dalam situasi sedemikian, Shad berkata seorang Ahli Parlimen boleh merintis. Kerajaan kemudian boleh membenarkan Ahli Parlimennya mengundi mengikut hati nurani.

Bagaimanapun, kerajaan mesti sediakan sokongan kewangan dan tenaga kerja untuk penyelidikan bagi membolehkan Ahli Parlimen melaksanakan tugas itu dengan berkesan, tambahnya.

“Ia bukanlah sesuatu yang mudah kerana ia memerlukan wang dan tenaga kerja untuk penyelidikan.

“Di England, mereka yang ingin memperkenalkan usul persendirian diberi bantuan kewangan. Tambahan pula, masa diperuntukkan setiap minggu untuk usul persendirian,” tambahnya.

Jadilah lebih terbuka

Shad juga menggesa kerajaan supaya tidak merahsiakan RUU daripada Ahli Parlimen sehingga saat akhir.

“Kenapa rang undang-undang perlu dirahsiakan? Tujuannya untuk rakyat. Undang-undang perlu dipatuhi tetapi bagaimana hendak patuhi sesuatu melainkan anda tahu isinya?

“Kita harus ikut amalan di beberapa negara lain, di mana sebaik sahaja RUU dilakar, ia disiarkan dalam media. Rakyat diminta beri komen, dan komen itu diambil kira,” katanya.

Shad berkongsi pengalaman yang menonjolkan betapa kurangnya ketelusan: “Ada seorang Ahli Parlimen hubungi saya pada pukul 9 malam, dan berkata: ‘Whip parti minta saya bahas RUU itu. Bolehkah anda menasihati saya?”

“Saya jawab: ‘Tuan, saya belum lihat RUU itu kerana pihak tuan merahsiakannya di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.’

“(Ahli Parlimen balas:) ‘Tak, tak. Saya akan hantar kepada kamu sekarang’, dan kemudian dia minta pendapat kerana dia perlu beri ucapan mengenainya,” katanya.

Shad menegaskan bahawa Ahli Parlimen harus terima salinan RUU lebih awal.

“Ia menganiaya Ahli Parlimen yang tidak tahu kandungan RUU itu. Walaupun mereka membacanya, mereka mungkin tidak memahaminya. Jika mereka faham, mereka tak bebas bercakap kerana ada disiplin parti.

“Sepatutnya ada lebih banyak kebebasan bersuara untuk mengkritik RUU,” katanya.

Beliau juga menyeru agar Ahli Parlimen diberi bantuan perundangan.

“Di UK, terdapat 600 Ahli Parlimen dengan 3,500 pembantu perundangan. Di Filipina, setiap ahli kongres mempunyai lima pembantu perundangan.

“Pembantu ini membantu Ahli Parlimen menganalisis RUU, merangka ucapan, dan mengambil maklum aduan awam,” kata Shad.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.