Tunjuk kemaluan di kedai sejuk beku, warga emas dipenjara 18 hari

Tunjuk kemaluan di kedai sejuk beku, warga emas dipenjara 18 hari

Pesawah Zainal Abidin Sabri mengaku bersalah menunjukkan kemaluan kepada seorang remaja 18 tahun.

Majistret menjatuhkan hukuman penjara dan bukannya denda kerana ini bukan kesalahan pertama tertuduh berusia 72 tahun itu.
PETALING JAYA:
Mahkamah Majistret Parit Buntar menjatuhkan hukuman penjara 18 hari terhadap seorang warga emas selepas mengaku bersalah menunjukkan kemaluan kepada seorang remaja 18 tahun.

Majistret Muhammad Syaiful Akmal Mohamad Razi menjatuhkan hukuman itu kepada pesawah Zainal Abidin Sabri, 72, yang menurutnya kesalahan itu bukan kali pertama berlaku.

“Bagi kes ini, mahkamah tidak benarkan permohonan denda, kamu dipenjara 18 hari dari hari ini.

“Kamu keluar penjara nanti, esok dah raya,” katanya menurut Sinar Harian.

Mengikut kertas pertuduhan, bapa kepada dua anak itu didakwa menunjukkan kemaluan kepada remaja berkenaan dengan niat mengaibkan kehormatannya di sebuah kedai sejuk beku pada 5.24 petang 2 Mac lalu.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, ketika kejadian, mangsa didatangi seorang warga emas bertanyakan minyak masak sebelum diberitahu ia tidak dijual.

Tertuduh kemudian berulang kali meminta seluar dalam dipakai mangsa, tetapi mangsa tidak mengendahkannya.

Tertuduh berlegar-legar dalam premis walaupun menyedari ada pelanggan lain dan mangsa perasan tertuduh menunjukkan kemaluannya sebelum beredar.

Kamera litar tertutup (CCTV) merakam tindakan tertuduh kerap ke premis itu untuk mengganggu mangsa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.