PGA bongkar kegiatan lombong emas haram di Marang, tahan 20 lelaki

PGA bongkar kegiatan lombong emas haram di Marang, tahan 20 lelaki

Pelbagai peralatan dan jentera bernilai RM2.85 juta turut dirampas dalam Op Bersepadu Khazanah di Marang semalam.

melombong emas haram
Antara peralatan dan jentera melombong emas dirampas menerusi Op Bersepadu Khazanah di Marang semalam. (Gambar Facebook Briged Tenggara PGA)
PETALING JAYA:
Pasukan Gerakan Am (PGA) membongkar kegiatan melombong emas secara haram di Marang, Terengganu dengan menahan 20 lelaki dan merampas pelbagai peralatan serta jentera bernilai RM2.85 juta menerusi Op Bersepadu Khazanah semalam.

Anggota Batalion 9 PGA dengan kerjasama IPK Terengganu menyerbu kawasan perumahan Taman Desa Impian, Marang pada 2.15 petang Selasa dan menahan 11 lelaki berusia 32 hingga 56 tahun.

Briged Tenggara PGA dalam kenyataan berkata, peralatan dan jentera, termasuk sebuah mesin pencuci batu serta dua pam air dianggarkan bernilai RM450,000 turut dirampas.

Dalam serbuan kedua di Kampung Rusila pada 3 petang, lapan lelaki berusia 17 hingga 46 ditahan dan peralatan serta jentera berjumlah RM510,000 dirampas.

Serbuan ketiga di Lubuk Terak, Rusila pada 5 petang pula menyaksikan seorang lelaki berusia 57 tahun ditahan dan rampasan pelbagai peralatan serta jentera berjumlah RM1.89 juta.

Menurutnya, semua suspek serta barang rampasan diserahkan kepada Pejabat Tanah dan Galian Terengganu untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Enakmen Mineral (Terengganu 2002) kerana melombong tanpa kebenaran pihak berkuasa.

“PGA akan terus mempergiatkan usaha bagi mengekang kegiatan perlombongan haram daripada terus berleluasa dalam negara.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.