
Antaranya Helen, 68, yang sabar menanti giliran untuk mendapatkan makanan daripada Food4U, sebuah NGO yang memberi makan kepada orang gelandangan dan miskin setiap minggu sejak dua tahun lalu.
“Abang saya meninggal dunia tiga tahun lalu dan saya tak pulang ke rumah sejak itu.
“Di sini kami dapat bertemu rakan-rakan dan meluangkan masa. Beberapa rakan saya tidak mempunyai keluarga dan anak,” kata Helen, yang menjual barangan seperti kadbod dan produk logam untuk sara diri.
Seorang lelaki, 56, yang memperkenalkan dirinya sebagai James, lebih sanggup berdikari daripada menyusahkan anak-anak.
“Anak-anak saya sudah besar, tetapi mereka tidak ambil berat tentang bapa mereka. Mereka sibuk bekerja. Saya tidak mahu merayu.

“Saya sanggup ambil makanan dari jalanan daripada mengemis kepada anak sendiri,” katanya kepada FMT.
Ini bukan kes terpencil. Yang lain beratur untuk mendapatkan beg plastik berisi makanan, kudapan dan buah-buahan, termasuk Lee, 73, yang kehilangan isteri beberapa tahun lalu dan berkata anak-anaknya tidak mahu menjaganya, dan Chong, 80, yang mendakwa anak-anaknya tidak memberinya makanan yang mencukupi.
Keperluan mendesak
Tony Lian, pengasas Food4U, mula memberi makan kepada warga emas yang terabai pada 2015.
Beliau bermula dengan mengagihkan botol air kepada orang gelandangan, namun sumbangan bertambah daripada 20 karton kepada 100 karton dalam masa beberapa minggu sahaja, lantaran keperluan yang begitu mendesak.
Pada 2016, Lian mula mengedarkan 300 peket makanan seminggu tetapi jumlah itu kini meningkat kepada 3,000 peket.

“Menyayat hati apabila melihat mereka mencari makanan di jalanan. Keadaan mereka menunjukkan tanda-tanda pengabaian. Ini cerminan generasi yang mengutamakan wang daripada keluarga.
“Saya dibesarkan supaya menghormati orang tua dan saya ajar anak-anak perkara sama. Sebab itu saya terus memberi makan kepada orang miskin,” katanya.
Ditinggalkan di hospital
Selain mengagihkan makanan, Lian turut membantu warga emas yang ditinggalkan di hospital.
“Hospital menghubungi kami apabila pesakit warga emas pulih tetapi tiada sesiapa yang datang untuk mengambil mereka. Tidak terhitung warga emas yang kami tempatkan di rumah perlindungan,” katanya.

Dalam satu kes baru-baru ini, Lian menceritakan seorang lelaki berusia 75 tahun meninggal dunia di hospital pada malam Tahun Baharu Cina. Isterinya yang berusia 70 tahun tiada tempat untuk dituju dan terpaksa diletakkan di pusat perlindungan, katanya.
Bekas ahli perniagaan ini berkata bilangan warga emas yang terabai lebih ketara kini berbanding masa lalu.
“Semasa saya muda jarang dapat lihat orang tua tidur di jalanan. Kini, bilangan mereka berlipat ganda. Apa sudah jadi dengan kita?” katanya.
Malaysia dijangka mencapai status negara tua lebih awal daripada jangkaan, menurut Jabatan Perangkaan, dengan lebih 17% penduduk dijangka berumur 60 tahun atau lebih pada 2040.
Sehingga tahun lepas, kumpulan warga emas membentuk 11.6%, atau 3.9 juta, daripada 34.1 juta penduduk.
Malaysia akan mencapai kategori masyarakat super tua menjelang 2057, dengan 20.5% diunjurkan berusia lebih 60 tahun.