Bas bawa 39 penumpang terbalik, 6 cedera

Bas bawa 39 penumpang terbalik, 6 cedera

Kemalangan membabitkan keseluruhan 40 mangsa termasuk pemandu bas dengan enam wanita dewasa mengalami kecederaan ringan.

Keadaan bas membawa 39 penumpang terbalik di Lebuhraya Utara Selatan pagi tadi. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA:
Sebuah bas ekspres membawa 39 penumpang dilaporkan terbalik dalam kemalangan di Kilometer 245.5 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, pagi tadi.

Kejadian kira-kira 6 pagi itu menyebabkan enam mangsa cedera dengan dua daripadanya terpaksa menerima rawatan lanjut di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di Seremban.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rembau dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan pada 6.01 pagi berhubung kemalangan itu.

“Kemalangan membabitkan keseluruhan 40 mangsa termasuk pemandu bas dengan enam wanita dewasa mengalami kecederaan ringan.

“Semua mangsa diberikan rawatan awal oleh paramedik ambulans dengan bantuan Pasukan Khas EMRS sebelum ambulans membawa dua daripada mangsa yang cedera ke HTJ untuk tindakan lanjut,” katanya, menurut Berita Harian.

Dalam pada itu, PLUS menerusi hantaran di X sejurus kemalangan memaklumkan kerja pengalihan dilakukan pihaknya selepas lorong kanan di kedua-dua arah dan lorong tengah arah selatan yang terhalang.

“Smartlane diaktifkan menggunakan lorong kecemasan arah selatan. Trafik sesak arah selatan lima kilometer, manakala perlahan dua kilometer arah utara. Rancang perjalanan anda,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.