Mahkamah Rayuan kekal ganti rugi RM300,000 kepada Khairuddin

Mahkamah Rayuan kekal ganti rugi RM300,000 kepada Khairuddin

Bagaimanapun ia menolak rayuan Khairuddin Abu Hassan terhadap penolakan tuntutan pendakwaan berniat jahatnya.

Khairuddin Abu Hassan
Bekas ahli Umno Khairuddin Abu Hassan bersama peguamnya Haniff Khatri Abdulla selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan penghakiman dibuat terhadap polis dan kerajaan berhubung dua penahanan secara tidak sah pada 2015.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan mengekalkan ganti rugi RM300,000 kepada bekas pemimpin Umno Khairuddin Abu Hassan berhubung penahanannya yang menyalahi undang-undang bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).

Panel tiga hakim diketuai See Mee Chun menolak rayuan Khairuddin untuk mendapatkan ganti rugi lebih tinggi dan rayuan balas kerajaan terhadap liabiliti dan kuantum.

Panel termasuk Hakim Azhahari Kamal Ramli dan Kamal Shahid juga menolak rayuan Khairuddin terhadap penolakan tuntutannya bagi pendakwaan berniat jahat.

“Kedua-dua rayuan oleh plaintif dan defendan ditolak. Kami mengarahkan setiap pihak menanggung kos sendiri,” kata See.

Bercakap kepada pemberita di luar mahkamah, peguam Khairuddin, Haniff Khatri Abdulla, berkata anak guamnya akan menunggu alasan penghakiman sebelum memutuskan sama ada untuk membawa perkara itu ke Mahkamah Persekutuan.

“Mahkamah Rayuan bersetuju sepenuhnya dengan Mahkamah Tinggi, memutuskan bahawa mahkamah rendah adalah betul dalam memberikan jumlah dan dalam formula yang digunakan untuk pengiraannya.

“Mahkamah Rayuan juga bersetuju bahawa tiada pendakwaan jahat terhadap anak guam saya,” katanya.

Pada 24 Ogos 2022, Hakim Mahkamah Tinggi Quay Chew Soon memutuskan penahanan Khairuddin dilakukan secara tidak sah.

Dalam penghakimannya, Quay menyatakan Khairuddin kali pertama ditahan pada 18 Sept 2015 atas dakwaan cuba melakukan aktiviti memudaratkan demokrasi berparlimen, berikutan laporan polis dibuat oleh seorang individu, Mohd Faizal.

Hakim berkata, dia tidak melihat sebarang asas untuk tangkapan mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan.

Semasa perbicaraan, mahkamah diberitahu Khairuddin ditahan semula enam hari kemudian di sekitar mahkamah kerana disyaki cuba mensabotaj sistem perbankan dan kewangan negara.

Dia dibebaskan dengan ikat jamin pada 18 Nov tahun itu selepas mahkamah lain memutuskan bahawa pertuduhan Khairuddin Seksyen 124C Kanun Keseksaan tidak tertakluk di bawah Sosma.

Berhubung penahanan kedua, Quay berkata: “Saksi defendan (kerajaan) gagal untuk menjustifikasi mengapa Khairuddin terpaksa ditangkap dan direman di bawah Sosma.”

Bagaimanapun, hakim menolak tuntutan Khairuddin untuk pendakwaan berniat jahat, berkata mahkamah tidak yakin bahawa kerajaan dan polis telah bertindak jahat apabila mendakwa Khairuddin dan peguam Matthias Chang pada 12 Okt 2015.

Khairuddin memfailkan saman terhadap pegawai Bukit Aman ketika itu Wan Aeidil Wan Abdullah dan Muniandy Chelliah, bekas timbalan ketua polis Dang Wangi Habibi Majinji dan bekas ketua polis negara Khalid Abu Bakar pada Mei 2018, menuntut ganti rugi bagi penahanan secara tidak sah.

Turut dinamakan dalam saman itu ialah Timbalan Pendakwa Raya Masri Daud, bekas peguam kanan persekutuan Awang Armadajaya Awang Mahmud, bekas peguam negara Apandi Ali dan kerajaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.