
Penasihat LFL yang juga bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, memaklumkan beliau menerima bukti tersebut daripada pemberi maklumat yang dikenali sebagai Albert selepas bertemu dengannya semalam.
Dalam sidang media, Latheefa mendedahkan Albert menyerahkan rakaman video penuh dan tidak disunting, yang mengandungi perbualan dengan wakil rakyat Sabah, didakwa sebagai bukti rasuah.
“Saya telah bertemu dengan pemberi maklumat ini yang sebelum ini tidak didedahkan identitinya.
“Namanya Albert, tetapi saya tidak akan menyebut nama penuhnya atas faktor keselamatan,” katanya.
Beliau turut mendakwa Albert berdepan pelbagai cabaran dan tidak diambil serius apabila kali pertama mendedahkan isu itu kepada Malaysiakini.
Akhirnya, Albert menyerahkan bukti tersebut kepada LFL untuk tindakan lanjut.
Menurut Latheefa, rakannya yang juga peguam Zaid Malek akan menyerahkan 10 rakaman video kepada SPRM pada petang ini.
“Selepas ini, tiada lagi alasan untuk SPRM tidak menyiasat kes ini secara menyeluruh. Saya juga menggesa kerajaan melindungi Albert,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki menyatakan kekurangan maklumat menyukarkan siasatan terperinci dilakukan.
Beliau turut menegaskan bahawa video berkaitan skandal itu tidak boleh dijadikan bukti kukuh kerana ia telah disunting secara ketara.
Januari lalu, Azam memaklumkan bahawa SPRM telah melengkapkan siasatan terhadap pemberi maklumat dan bekas ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat yang dikaitkan dengan skandal tersebut.
Kertas siasatan telah diserahkan kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya.