Usaha terbaharu haram alkohol dalam majlis Badan Peguam

Usaha terbaharu haram alkohol dalam majlis Badan Peguam

Badan Peguam akan membahaskan usul melarang minuman alkohol itu dalam mesyuarat agung Sabtu ini.

malaysian bar
Ini adalah kali kedua usul itu dibawa untuk dibincangkan dalam mesyuarat agung tahunan Badan Peguam selepas usul serupa ditolak pada 2017.
PETALING JAYA:
Satu usul untuk melarang minuman beralkohol dihidangkan dan diambil dalam acara anjuran Badan Peguam dan jawatankuasa peguam negeri akan dibahaskan dalam mesyuarat agung tahunan Badan Peguam ke-79 pada Sabtu ini.

Perkara itu adalah salah satu daripada 14 usul yang disenaraikan dalam agenda mesyuarat yang akan diadakan di Wisma MCA dan diedarkan kepada ahli Badan Peguam petang tadi.

FMT yang melihat agenda mesyuarat tersebut menghubungi Setiausaha Badan Peguam, Murshidah Mustafa, untuk mendapatkan komen.

Usul itu menyatakan bahawa pengambilan alkohol mempunyai risiko kesihatan yang diketahui umum, termasuk penyakit hati, ketagihan, dan kesan buruk terhadap kesihatan mental.

Selain itu, kehadiran alkohol dalam acara anjuran Badan Peguam dan jawatankuasa peguam negeri boleh menyumbang kepada tingkah laku tidak profesional serta menimbulkan potensi liabiliti kepada organisasi tersebut.

Usul itu juga menyebut bahawa penyediaan alkohol dalam acara sedemikian tidak selari dengan komitmen Badan Peguam dalam mewujudkan suasana yang sihat terhadap ahlinya.

Katanya, penyediaan alkohol dalam acara rasmi boleh menyebabkan rasa tidak selesa dalam kalangan ahli yang tidak mengambil minuman tersebut atas faktor kesihatan, agama, atau peribadi.

Menurut usul itu lagi, melarang minuman alkohol dan bahan memabukkan itu boleh mengurangkan rasa tidak selesa dan serba salah sebahagian ahli terutama peguam beragama Islam.

Usul itu juga mencadangkan Badan Peguam tidak lagi menerima sebarang tajaan daripada syarikat atau entiti yang mempromosikan alkohol, memandangkan kesannya terhadap kesejahteraan fizikal dan mental ahli.

Sekiranya terdapat keperluan, sebarang minuman beralkohol atau bahan memabukkan hanya boleh dibawa oleh ahli atas kapasiti individu dengan perbelanjaan sendiri serta hanya boleh diminum selepas acara rasmi berakhir.

Pada 2017, seorang peguam pernah mencadangkan usul serupa untuk mengharamkan alkohol dalam acara Badan Peguam atas alasan pengamal undang-undang datang dari pelbagai latar belakang etnik dan agama.

Bagaimanapun, usul tersebut ditolak dengan majoriti besar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.