
Dalam catatan Facebook malam tadi, katanya, dia hanya menyatakan “fakta dan kebenaran”.
“Tiada mahkamah yang telah mengeluarkan keputusan bahawa penulisan saya itu menghina mana-mana pihak mahupun ada keputusan mahkamah meminta saya menurunkan posting tersebut.
“Negara kita ada undang-undang, kita ‘follow rule of law’ bukan ‘follow’ apa yang Rayer suruh,” katanya merujuk Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer.
Wakil rakyat DAP itu menggesa Zamri ditahan susulan catatan kontroversi itu, yang sudah dipadamkan Facebook, tetapi muncul semula kemudian.
FMT difahamkan Facebook menyekat pengguna Malaysia mengakses catatan itu, yang kini memerlukan pengguna memasukkan kata laluan untuk membacanya.
Malam tadi, Rayer dilaporkan berkata, Zamri mesti dituduh di mahkamah kerana jelas melanggar undang-undang dengan memuat naik semula “hantaran menghasut dan tidak bertanggungjawab”.
Beliau mendakwa Zamri tidak pernah insaf dan terus membuat hasutan, cubaan mencetuskan ketegangan kaum serta agama di Malaysia.
Zamri dalam hantaran itu antara lain menyifatkan penganut Hindu melakukan upacara kavadi ketika Thaipusam “macam orang kena rasuk sambil mabuk todi”. Dia mempersoalkan kenapa ia tidak dianggap menghina.
Kenyataannya menyusul kontroversi tiga penyampai radio Era FM, yang dikritik meluas kerana mempersenda upacara berkenaan.