Menteri perpaduan harap perdebatan Saravanan-Zamri tak diteruskan

Menteri perpaduan harap perdebatan Saravanan-Zamri tak diteruskan

Menteri perpaduan negara kata perbincangan mengenai agama seharusnya dilakukan dengan penuh rasa hormat.

Menteri Aaron Ago Dagang kata perdebatan berkaitan agama tidak seharusnya diteruskan jika ia hanya bertujuan untuk mencari perbezaan.
PETALING JAYA:
Menteri perpaduan negara berharap perdebatan mengenai agama Hindu antara Timbalan Presiden MIC M Saravanan dan penceramah bebas, Zamri Vinoth, tidak diteruskan.

Aaron Ago Dagang berkata perdebatan yang terlalu fokus kepada perbezaan agama berpotensi untuk mencetuskan ketegangan dan mengeruhkan hubungan antara masyarakat yang berbilang agama.

“Perbincangan atau perdebatan yang berkaitan dengan agama tidak seharusnya diteruskan jika ia hanya bertujuan untuk mencari perbezaan dan mengabaikan usaha untuk membina perpaduan,” menurut kenyataan.

Aaron menjelaskan perbincangan mengenai agama seharusnya dilakukan dengan penuh rasa hormat dan kesedaran terhadap kepelbagaian dalam masyarakat.

“Walaupun kita mempunyai pelbagai agama dan kepercayaan, adalah lebih utama untuk kita memberi fokus kepada titik persamaan dan nilai-nilai universal yang dapat menyatukan kita sebagai rakyat Malaysia,” katanya.

Zamri pada Jumaat menerima cabaran Saravanan untuk berdebat mengenai agama Hindu, berikutan kemarahan orang ramai terhadap kenyataannya berkaitan upacara kavadi.

Saravanan berkata, perdebatan akan tertumpu kepada dakwaan Zamri bahawa ramai penganut Hindu yang melakukan upacara kavadi kelihatan seperti ‘kena rasuk sambil mabuk todi’.

Pemimpin MIC itu mencadangkan debat diadakan pada 23 Mac dengan Dewan Bahasa Tamil Malaysia sebagai penganjur.

Cabaran untuk berdebat timbul selepas kritikan tercetus terhadap kenyataan Zamri mengenai upacara kavadi, dengan Saravanan menggesa penahanannya bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas).

Kenyataan itu dibuat di tengah-tengah kemarahan orang ramai terhadap tiga penyampai radio Era FM yang dikecam secara meluas kerana dikatakan mempersenda amalan Hindu yang sama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.