Penjelasan: Perdebatan pengiktirafan UEC

Penjelasan: Perdebatan pengiktirafan UEC

UEC diiktiraf antarabangsa tetapi tak sah untuk kemasukan ke universiti di Malaysia dan perkhidmatan awam sekali gus cetus perdebatan politik.

sekolah cina resize
Sijil itu sekian lama menjadi isu sensitif politik, dengan pihak pembangkang dan kerajaan sering bertelagah mengenai statusnya. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perdebatan mengenai Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sekolah menengah persendirian Cina kembali panas selepas Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming, mengumumkan rancangan untuk mendesak pengiktirafannya, sekali gus mengundang kecaman daripada Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh.

Sijil itu sekian lama menjadi isu sensitif politik, dengan pihak pembangkang dan kerajaan sering bertelagah mengenai statusnya.

FMT melihat dengan lebih dekat hujah kedua-dua pihak dan mengapa isu ini terus mencetuskan kontroversi.

Apakah UEC?

UEC ialah sijil tamat persekolahan bagi pelajar yang menghadiri sekolah menengah persendirian Cina dan setara dari segi akademik dengan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau peperiksaan A-level antarabangsa.

Ia diwujudkan oleh Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) bagi menyediakan peperiksaan bersepadu selepas sekolah-sekolah ini memilih untuk keluar daripada kurikulum kebangsaan pada 1961 bagi mengekalkan pengajaran dalam bahasa Cina.

Sebelum UEC diperkenalkan, sekolah-sekolah ini tidak mempunyai peperiksaan piawai untuk menilai kelayakan akademik graduan mereka.

Hari ini, UEC diterima secara antarabangsa oleh lebih 1,000 universiti sebagai kelayakan kemasukan; antaranya institusi swasta di Malaysia, serta universiti di Singapura, Taiwan dan China.

Ia juga diterima di Sarawak, satu-satunya negeri di Malaysia yang mengiktirafnya untuk kemasukan ke universiti awam negeri dan perkhidmatan awam negeri.

Bagaimanapun, ia tidak diterima untuk kemasukan ke kebanyakan universiti awam di Malaysia atau perkhidmatan awam persekutuan. Sekatan inilah yang menjadi isu utama kontroversi tersebut.

Usaha mengiktiraf UEC

Manifesto PRU 2018 Pakatan Harapan (PH) berjanji untuk mengiktiraf UEC, yang membolehkan pemegangnya memasuki universiti awam tanpa halangan, dengan syarat pemohon memperoleh sekurang-kurangnya kepujian dalam Bahasa Melayu pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ketika memerintah, PH menubuhkan satu pasukan petugas untuk mengumpulkan pandangan. Ia dipengerusikan oleh ahli sosiologi Eddin Khoo dan turut dianggotai Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia ketika itu, Raimi Abdul Rahim, serta Timbalan Presiden Dong Zong ketika itu, Tan Yew Sing.

Usaha tersebut terhenti selepas pertukaran kerajaan pada 2020, walaupun pasukan petugas itu telah menyiapkan satu laporan. Menteri pendidikan ketika itu, Radzi Jidin, berkata tiada laporan diserahkan, dan pasukan petugas tersebut dibubarkan pada 29 Feb tahun berkenaan.

Pada 2023, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata kementeriannya tidak merancang untuk mengiktiraf UEC bagi kemasukan ke universiti, dengan merujuk kepada Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Akta Pendidikan 1996.

Sijil itu telah diiktiraf oleh Sarawak pada 2016 sebagai sah untuk kemasukan ke jawatan perkhidmatan awam negeri, kolej dan universiti milik kerajaan negeri, serta kelayakan bagi pinjaman pendidikan Yayasan Sarawak.

Pada 2018, Barisan Nasional (BN) turut membuat janji serupa apabila pengerusi BN yang juga perdana menteri ketika itu, Najib Razak berjanji untuk mengiktiraf UEC sekiranya BN memperoleh mandat kukuh dan sokongan terhadap calon Cina BN.

Hujah menyokong pengiktirafan

Sokongan terhadap pengiktirafan UEC terutama datang daripada Dong Zong, pemimpin DAP dan MCA, yang berhujah bahawa sijil tersebut sudah diterima secara meluas di peringkat antarabangsa.

Perwakilan pada perhimpunan agung MCA pada 2016 meluluskan satu resolusi yang menggesa kerajaan mempercepatkan pengiktirafan UEC bagi kemasukan ke universiti dan perkhidmatan awam.

Pada 2020, Dong Zong berkata pengiktirafan UEC merupakan satu persefahaman bersama merentasi parti politik dan dimasukkan dalam manifesto pilihan raya PH dan BN, mencerminkan satu konsensus profesional.

Namun, usaha tersebut sering digagalkan oleh pertikaian berkaitan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, yang mencetuskan ketegangan kaum dan menghakis kepercayaan.

Pada 11 Dis, Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman dari DAP berkata pengiktirafan UEC wajar diberikan dengan syarat pelajar memperoleh kepujian dalam Bahasa Melayu dan Sejarah pada peringkat SPM.

Beliau berkata UEC, seperti O-level dan IGCSE, diiktiraf di peringkat antarabangsa dan diterima oleh universiti seperti Oxford, Cambridge, Australian National University, Universiti Kyoto, Caltech dan Universiti Peking.

Beliau berkata pelajar berprestasi tinggi tidak seharusnya dihalang daripada laluan pendidikan yang diiktiraf di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Dalam satu hantaran Facebook baru-baru ini, Presiden Parti Bangsa Malaysia, Larry Sng, mencadangkan PH boleh menunaikan manifestonya, meskipun berdepan tentangan Umno, dengan terlebih dahulu mengiktiraf UEC di negeri-negeri yang ditadbir PH (Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor) sebagai langkah awal yang pragmatik.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata bahawa walaupun bahasa lain boleh diperkasakan, bahasa Melayu mesti diutamakan. Sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu mesti dikuasai oleh semua rakyat Malaysia dan kekal sebagai bahasa utama ilmu, sambil beliau mengakui kepentingan bahasa Inggeris serta sekolah yang menggunakan medium pengantar lain, termasuk bahasa Cina, Tamil dan sekolah antarabangsa.

Beliau berkata, sekiranya prinsip dan soal itu telah dilakukan, baharulah cadangan bagi memantapkan penguasaan bahasa lain dan pengiktirafan terhadap UEC boleh dikemukakan.

Hujah menentang pengiktirafan

Pada 2018, Pemuda Umno membantah cadangan kerajaan PH untuk mengiktiraf UEC bagi kemasukan ke universiti awam.

Ketua sayap Pemuda ketika itu, Asyraf Wajdi Dusuki, berkata langkah tersebut akan menjadikan sistem pendidikan Malaysia ‘tidak teratur’, memandangkan kelayakan lain pada tahap yang sama sudah pun diiktiraf kerajaan.

Beliau juga memberi amaran bahawa langkah itu boleh menjejaskan usaha membentuk identiti kebangsaan dan memupuk integrasi kaum.

Timbalan Pengerusi BN, Mohamad Hasan, berkata kerajaan tiada masalah untuk mengiktiraf UEC sekiranya ia dijalankan dalam bahasa kebangsaan dan digubal selaras dengan aspirasi nasional. Selagi kriteria tersebut tidak dipenuhi, UEC tidak boleh disamakan dengan kelayakan kebangsaan.

Timbalan Ketua Pemuda PAS, Hafez Sabri, menggesa kerajaan menolak UEC secara tegas, dengan berkata sistem pendidikan kebangsaan Malaysia yang telah lama wujud menjadi asas kepada perpaduan dan pembangunan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.