KKM tak cadang perluas lanjutan waktu operasi klinik kesihatan

KKM tak cadang perluas lanjutan waktu operasi klinik kesihatan

Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni berkata langkah itu tidak banyak menyelesaikan masalah kesesakan, terutama di zon hijau.

Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni berkata 49 klinik kesihatan melaksanakan lanjutan waktu operasi sejak 2008 bagi membantu menyuraikan kesesakan di zon hijau Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital kerajaan. (Gambar fail)
KUALA LUMPUR:
Kementerian Kesihatan (KKM) setakat ini tidak bercadang memperluaskan pelaksanaan lanjutan waktu operasi (EH) di klinik kesihatan (KK), kata Timbalan Menterinya, Lukanisman Awang Sauni.

Beliau berkata, berdasarkan pelaksanaan EH di beberapa klinik terpilih ketika ini, langkah itu didapati tidak banyak menyelesaikan masalah kesesakan, terutama di zon hijau.

“Ini kerana kita dapati lambakan pesakit dan kehadiran semakin bertambah, walaupun kita perkenalkan EH. Kita dapati EH dijadikan peluang lebih besar kepada klien KKM, apabila pada mereka ini adalah peluang untuk mendapatkan perkhidmatan sistem kesihatan awam.

“Justeru, kita masih mengkaji apakah kaedah sesuai untuk mengurangkan kesesakan di zon hijau, selain terdapat fasiliti kita memperkenalkan short stay (jangka pendek) unit di zon kecemasan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Dr Lingeshwaran R Arunasalam yang ingin mengetahui impak pelaksanaan lanjutan waktu operasi di KK terhadap kesesakan di Jabatan Kecemasan.

Lukanisman berkata, pelaksanaan EH sejak 2008 bertujuan membantu menyuraikan kesesakan di zon hijau Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital KKM, dengan 49 KK melaksanakan EH setakat ini.

“Umumnya EH dilaksanakan setiap hari bekerja dari 5 petang hingga 9.30 malam dan Sabtu pada 9 pagi hingga 1 tengah hari.

“Pada 2023, enam daripada 49 KK yang melaksanakan EH dipilih dalam projek rintis Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi atau Special Task Force on Agency Reform, iaitu KK Bandar Botanik di Klang, KK Ampang, KK Taman Ehsan, KK Kuala Lumpur, KK Greentown di Perak dan KK Mahmoodiah di Johor.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.