Bila gaji RM1,800 ‘terlalu tinggi’ di Sabah

Bila gaji RM1,800 ‘terlalu tinggi’ di Sabah

Kos perniagaan, kurangnya infrastruktur, ketidakstabilan politik dan pasaran kecil menyebabkan gaji di Sabah rendah, kata pakar.

Menurut statistik rasmi, purata gaji di Sabah pada Mac 2023 hanya RM3,127 sebulan.(Gambar Wikipedia)
PETALING JAYA:
Selepas menamatkan pengajian, Norashikin Diyana cuba mendapatkan pekerjaan di negeri kelahirannya di Sabah tetapi permintaannya untuk gaji RM1,800 sebulan dianggap “terlalu tinggi”.

Keadaan itu mendorong Norashikin berhijrah ke Semenanjung Malaysia, di mana gaji untuk pekerjaan yang memerlukan kelayakan dan kemahiran seperti yang dimilikinya adalah jauh lebih tinggi.

Norashikin Diyana
Norashikin Diyana.

“Saya ada ijazah dalam pengurusan teknologi, tetapi mereka tidak peduli dengan kelayakan saya,” katanya kepada FMT.

Nasib yang menimpa Norashikin bukanlah sesuatu yang luar biasa. Menurut data Jabatan Perangkaan, perniagaan di Sabah antara paling rendah membayar gaji berbanding negeri-negeri lain.

Ramai rakyat Sabah akhirnya terpaksa merentas Laut China Selatan ke Semenanjung Malaysia demi mendapatkan pendapatan yang lebih baik.

Kumpulan perniagaan berkata kebanyakan syarikat di Sabah berskala kecil dengan sumber kewangan terhad, menyebabkan mereka sukar menawarkan gaji setanding dengan semenanjung.

Statistik rasmi menunjukkan purata gaji pada Mac 2023 ialah RM4,858 sebulan di Putrajaya, RM4,521 di Kuala Lumpur dan RM3,885 di Selangor. Sebaliknya, di Sabah, purata gaji hanya RM3,127 sebulan.

Christina Tee

Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia, Christina Tee, berkata kebanyakan perniagaan di Sabah adalah dimiliki keluarga dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang tertumpu pada pasaran domestik.

“Ini bermakna mereka mempunyai sumber terhad untuk menawarkan gaji kompetitif seperti di Semenanjung,” katanya kepada FMT.

Foo Ngee Kee.

Presiden Persatuan PKS Sabah, Foo Ngee Kee, pula berkata kos menjalankan perniagaan di negeri itu adalah tinggi disebabkan gangguan bekalan elektrik dan air yang kerap, rangkaian pengangkutan yang lemah serta hubungan terhad dengan negeri-negeri lain dan luar negara.

“Keuntungan yang rendah, ditambah dengan kos operasi dan pengeluaran yang tinggi, mengehadkan kemampuan syarikat di Sabah untuk membayar gaji lebih tinggi kepada pekerja mereka,” katanya.

Foo dan Tee turut bersetuju bahawa faktor-faktor ini menyukarkan syarikat untuk berkembang serta mengekalkan tenaga kerja mahir.

madeline
Madeline Berma.

Pakar ekonomi Madeline Berma pula berkata kurangnya kestabilan politik dan infrastruktur adalah antara faktor yang menghalang perniagaan di Sabah daripada menawarkan gaji lebih kompetitif.

Madeline, dari Institut Masa Depan Malaysia, berkata negeri-negeri yang lebih maju menawarkan gaji yang jauh lebih tinggi.

“Selain faktor politik, kelewatan projek mega seperti Lebuhraya Pan Borneo telah menjejaskan keyakinan pelabur,” katanya kepada FMT.

Bagi Norashikin, penghijrahannya ke Kuala Lumpur ternyata berbaloi. “Saya telah menemui kestabilan profesional dan kewangan yang lebih baik,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.