2 sindiket tumpas, polis rampas dadah hampir RM7 juta

2 sindiket tumpas, polis rampas dadah hampir RM7 juta

Dua sindiket pengedaran dadah di Johor tumpas selepas polis melakukan serbuan pada 4 Mac lalu.

Ketua Polis Johor M Kumar menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media hari ini. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Polis menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah dalam operasi berasingan di daerah ini pada 4 Mac lalu melibatkan nilai rampasan hampir RM7 juta.

Ketua Polis Johor, M Kumar, berkata dua lelaki tempatan dan seorang wanita Vietnam berusia 25 hingga 29 tahun ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dalam serbuan pertama sekitar 7.20 pagi.

“Dua suspek ditahan di tempat letak kenderaan sebuah pangsapuri, manakala seorang lagi di sebuah hotel di sekitar bandar raya ini.

“Pelbagai jenis dadah ditemui di pangsapuri berkenaan iaitu 9.28kg serbuk ekstasi, 74g ketamin, 90 biji pil erimin 5, 26 biji pil ekstasi dan 18 mililiter cecair ekstasi bernilai RM1.56 juta,” katanya pada sidang media di IPK Johor.

Beliau berkata, turut disita dua kereta, wang tunai RM15,450 dan pelbagai jenis barang kemas bernilai RM25,040.

Kumar berkata, hasil siasatan mendapati sindiket yang aktif sejak Januari lepas mencampurkan pelbagai jenis dadah ke dalam peket minuman segera untuk mengaburi pihak berkuasa sebelum dijual ke pasaran tempatan dengan harga lebih RM250 sepeket.

Katanya, saringan urin pula mendapati dua suspek positif dadah jenis benzodiazepines, sementara semakan rekod lampau mendapati hanya seorang terlibat berkaitan dadah.

Sementara itu, Kumar berkata tiga lelaki dan seorang wanita tempatan berusia 17 hingga 42 tahun ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Johor Bahru Selatan bersama JSJN Johor dalam operasi kedua pada 4.30 petang.

Beliau berkata, dalam serbuan di sebuah pangsapuri itu, pihaknya merampas 32kg serbuk ekstasi, 13.5g syabu dan lapan biji pil erimin 5 bernilai RM5.38 juta selain turut menyita sebuah kereta, dua motosikal dan wang tunai RM159.

“Hasil siasatan mendapati sindiket ini aktif sejak Februari lepas dan modus operandi yang sama digunakan iaitu mengedar campuran pelbagai jenis dadah ke dalam peket minuman untuk pasaran tempatan.

“Saringan urin pula mendapati seorang suspek positif dadah jenis methamphetamine dan dua suspek mempunyai rekod jenayah dan dadah,” katanya.

Beliau berkata, semua yang ditahan dalam kedua-dua operasi direman hingga 12 Mac ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.