Tiada rakyat Malaysia terbabit serangan di Sungai Golok

Tiada rakyat Malaysia terbabit serangan di Sungai Golok

Dua maut, manakala lapan lagi cedera dalam tembakan dan letupan bom di sebuah pos kawalan keselamatan di luar Pejabat Daerah Sungai Golok malam tadi.

Yusoff Mamat
Ketua Polis Kelantan Mohd Yusoff Mamat berkata kawalan keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand akan diperketatkan susulan serangan di Sungai Golok malam tadi. (Gambar Bernama)
KOTA BHARU:
Polis mengesahkan tiada rakyat Malaysia terbabit tembakan dan letupan bom di Sungai Golok malam tadi.

Ketua Polis Kelantan, Mohd Yusoff Mamat, berkata kawalan keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand akan diperketatkan susulan serangan itu.

“Semua ketua balai polis dan Pasukan Gerakan Am diarah meningkatkan kawalan di kawasan berisiko tinggi, khususnya pangkalan haram dengan pemantauan 24 jam,” katanya ketika dihubungi malam tadi.

Polis Thailand dilaporkan berkata, letupan berlaku di sebuah pos kawalan keselamatan di luar Pejabat Daerah Sungai Golok di Jalan Sungai Golok-Sungai Padi.

Beberapa tembakan dilepaskan sekumpulan penyerang yang menyebabkan sekurang-kurangnya dua anggota keselamatan Thailand maut, manakala lapan lagi cedera dalam serangan kira-kira 7.10 malam Sabtu itu.

Penyerang dikatakan melepaskan beberapa das tembakan sebelum melempar lima butir bom tangan ke arah pos kawalan di depan Pejabat Daerah Sungai Golok.

Pasukan keselamatan sedang memeriksa lokasi kejadian dan orang ramai dinasihatkan mengelak laluan terjejas.

Sejak awal Ramadan, pihak berkuasa di Sungai Golok memperketatkan langkah keselamatan susulan peningkatan risiko serangan di kawasan sempadan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.