RM5 bilion untuk Johor henti beli air terawat Singapura

RM5 bilion untuk Johor henti beli air terawat Singapura

Inisiatif dengan sokongan Putrajaya akan menyaksikan pembinaan tiga takungan dan tiga loji rawatan air.

Tiga loji rawatan air menelan belanja RM3.5 bilion, meningkatkan bekalan air terawat Johor sebanyak 41% kepada 3,061 juta liter sehari. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan Johor memperuntukkan RM5 bilion bagi membangunkan tiga takungan air dan tiga loji rawatan air dalam usaha menghentikan sepenuhnya kebergantungan terhadap air terawat dari Singapura menjelang 2030.

Inisiatif dengan sokongan Putrajaya akan menyaksikan pembinaan tiga takungan di sepanjang Sungai Johor, Sungai Pontian Besar dan Sungai Sedili Besar dengan kos keseluruhan RM1.6 bilion, lapor New Straits Times.

Tiga loji rawatan air baharu pula akan menelan kos RM3.5 bilion, yang dijangka meningkatkan kapasiti bekalan air terawat negeri itu sebanyak 41% kepada 3,061 juta liter sehari (mld).

Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Fazli Salleh yang dipetik sebagai berkata projek ini adalah sebahagian daripada inisiatif Malaysia Zero Dependency Project.

Beliau berkata, misi Johor untuk mencapai sifar kebergantungan kepada Singapura adalah sebahagian daripada rancangan pertumbuhan pesat industri negeri itu, terutamanya dalam sektor pusat data dan pembuatan.

Terdahulu, Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi berkata pembinaan takungan air ini akan meningkatkan simpanan air negeri bagi memenuhi permintaan penduduk serta industri, khususnya dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Kerajaan persekutuan akan membiayai projek pembinaan takungan air, manakala Johor akan membiayai loji rawatan air melalui Ranhill SAJ, syarikat utiliti yang bertanggungjawab terhadap bekalan air terawat di negeri itu.

Ketika ini, Johor membeli purata 16 juta gelen air terawat sehari (mgd) dari Singapura, jauh melebihi keperluan 5 mgd seperti yang dipersetujui dalam Perjanjian Air Sungai Johor 1962.

Ini berlaku kerana kos air terawat tempatan hampir RM1.80 setiap meter padu, berbanding hanya 11 sen setiap meter padu dari Singapura.

Pertumbuhan pesat Johor dalam industri pusat data dan semikonduktor turut menambah tekanan kepada bekalan air, dengan negeri itu telah meluluskan 17 pusat data baharu yang dijangka menggunakan 59.06 mld air terawat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.