
Pemangku Ketua Polis Ipoh, Mohamad Sajidan Abdul Sukor berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira jam 12.30 tengah malam Jumaat lepas, lapor Bernama.
Katanya, polis sedang melengkapkan siasatan sebelum kertas siasatan dirujuk kepada pendakwa raya negeri untuk tindakan lanjut.
“Siasatan awal polis mendapati seorang lelaki warga asing telah menyimbah secawan air panas ke atas seekor anjing liar yang berlegar di luar premis.
“Anjing tersebut telah diselamatkan dan dihantar ke klinik veterinar berhampiran bagi tujuan rawatan,” katanya.
Sajidan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 29(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan Seksyen 428 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menganiaya dan khianat terhadap haiwan.
Terdahulu, KK Super Mart berkata pekerja di kedai serbaneka di Jalan Besar, Menglembu, Ipoh sudah ditamatkan kontrak serta-merta selepas siasatan dalaman dijalankan.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tular di media sosial sejak semalam menunjukkan seorang individu mengambil air panas di mesin pemanas air premis itu menggunakan cawan sebelum menyimbah ke anjing berkenaan.
Rakaman itu memaparkan kejadian berkenaan disaksikan beberapa individu dipercayai pekerja premis sama yang memakai uniform sama seperti pelaku.