PM kagum ‘pengaruh’ Tok Mat

PM kagum ‘pengaruh’ Tok Mat

Anwar Ibrahim berkata kehadiran ramai duta besar dan pesuruhjaya tinggi pelbagai negara pada majlis dianjur Kementerian Luar bukti komitmen Mohamad Hasan.

Anwar Ibrahim
Perdana Menteri Anwar Ibrahim, berkata kehadiran ramai perwakilan asing pada majlis Kementerian Luar bukti kekuatan dan pengaruh menteri luar dalam hubungan diplomatik negara asing.
PUTRAJAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim kagum dengan “pengaruh” Mohamad Hasan, yang menyaksikan ramai duta besar dan pesuruhjaya tinggi pelbagai negara hadir majlis berbuka puasa dianjurkan Kementerian Luar Negeri.

Dalam ucapannya, Anwar secara berseloroh menyatakan bahawa apabila beliau menjemput, tidak semua duta hadir, berbanding jemputan dikeluarkan menteri luar, ramai hadir tanpa gagal.

“Saya bergurau…bukan, bukan bergurau, ini satu perkara serius saya beritahu kepada menteri luar negeri.

“Saya kata apabila perdana menteri jemput, tidak semua duta hadir tetapi apabila menteri luar negeri jemput, saya lihat begitu ramai yang hadir tanpa gagal,” katanya ketika menyampaikan tazkirah Ramadan Majlis Berbuka Puasa Kementerian Luar Negeri.

Beliau yang juga menteri kewangan, berkata ia membuktikan kekuatan dan pengaruh menteri luar serta kementeriannya dalam hubungan diplomatik dengan negara asing.

Majlis berbuka puasa diadakan di Wisma Putra, Putrajaya memperlihatkan hubungan diplomatik yang kukuh antara Malaysia dan negara-negara lain, serta komitmen Kementerian Luar Negeri dalam mempererat hubungan antarabangsa.

Majlis itu dihadiri kira-kira 600 tetamu pelbagai negara termasuk duta besar dan pesuruhjaya tinggi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.