
Ketua Polis Kuching Mohd Farhan Lee Abdullah, berkata pihaknya menerima aduan daripada orang awam mengenai kejadian di rumah ibadat itu, pada 6.50 petang semalam.
“Lelaki yang berusia 25 tahun itu telah masuk dari pintu utama gereja menggunakan kereta sambil memainkan muzik dengan kuat serta memegang sebotol minuman keras.
“Lelaki tersebut juga secara tiba-tiba bertindak memaki hamun dengan mengeluarkan kata-kata kesat lalu membaling botol dan keluar dari gereja dalam keadaan marah,” katanya dalam kenyataan.
Farhan berkata, ahli keluarga suspek telah tampil memberi kenyataan dan menunjukkan dokumen menyatakan lelaki terbabit sedang mendapatkan rawatan di Hospital Kota Sentosa.
“Ahli keluarga turut memaklumkan suspek dikhuatiri tidak mengambil ubat yang telah dibekalkan oleh pihak hospital kepadanya,” katanya.
Kes tular itu disiasat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan.
Farhan turut menasihati orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih mengenai kejadian itu.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pusat Kawalan IPD Kuching di talian 082-244444 atau Pegawai Penyiasat Inspektor Ang Mei Cin di talian 010-7039818.