Bagasi hilang bukan tanggungjawab kami, kata syarikat bas ekspres

Bagasi hilang bukan tanggungjawab kami, kata syarikat bas ekspres

Starmart Express mengulas aduan seorang penumpang cacat penglihatan yang hilang beg mengandungi barang berharga di ruang simpanan.

Starmart Express Bus
Pegawai Starmart Express di Taiping berkata mustahil untuk pemandu memastikan penumpang hanya mengambil bagasi mereka ketika bas berhenti. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Sebuah syarikat bas ekspres menjelaskan bahawa penumpang bertanggungjawab ke atas keselamatan bagasi mereka dan pihak syarikat tidak boleh dipertanggungjawabkan atas sebarang kehilangan atau kerosakan.

Pegawai di ibu pejabat Starmart Express Sdn Bhd di Taiping berkata klausa ini dinyatakan dengan jelas di bahagian belakang tiket yang dikeluarkan kepada penumpang.

Beliau mengulas aduan seorang penumpang yang mendakwa satu daripada dua begnya, mengandungi barang berharga dan wang tunai, hilang ketika bas tiba di Taiping dari Kuala Lumpur.

Katanya, adalah mustahil bagi pemandu bas untuk memastikan setiap penumpang hanya mengambil bagasi mereka sendiri setiap kali bas berhenti untuk menurunkan penumpang sepanjang perjalanan.

“Tidak adil untuk mengharapkan pemandu tahu sama ada penumpang mengambil bagasi mereka sendiri atau milik orang lain.

“Kami sentiasa menasihatkan penumpang supaya menyimpan barang berharga bersama mereka di dalam bas,” katanya kepada FMT.

Penumpang yang membuat aduan, Dinesh Menon, berkata beliau menaiki bas pada 26 Feb bersama dua ahli keluarganya, termasuk seorang yang cacat penglihatan.

Mereka menaiki bas dua tingkat syarikat itu dari Terminal Bas Jalan Duta, Kuala Lumpur, menuju ke Kamunting.

Katanya, abang iparnya yang cacat penglihatan kehilangan beg yang mengandungi jam tangan, cincin emas, loket, sejumlah wang tunai serta pakaian.

Dinesh berkata bas itu berhenti di Ipoh untuk menurunkan penumpang, sebelum meneruskan perjalanan ke Kuala Kangsar. Bagaimanapun, bas itu terpaksa berhenti di sebuah bengkel di Taiping selepas cermin depan pecah.

“Kami turun untuk mengambil bagasi dan mendapati beg itu hilang,” katanya kepada FMT.

“Apabila kami memberitahu pemandu bas, dia menghubungi terminal Ipoh dan Kuala Kangsar, tetapi beg itu tidak dijumpai. Malah, dia memaklumkan bahawa dua lagi penumpang turut membuat aduan kehilangan bagasi.”

Dinesh menggesa syarikat bas memperkenalkan langkah keselamatan tambahan. Beliau mencadangkan agar kerajaan mewajibkan pemasangan kamera CCTV dari pelbagai sudut bagi memastikan keselamatan bagasi penumpang.

“Jika tiada sebarang tindakan diambil, nampaknya semua penumpang perlu turun setiap kali bas berhenti untuk menurunkan penumpang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.