Akta Antigangguan Seksual perkasa wanita di tempat kerja, kata Nancy

Akta Antigangguan Seksual perkasa wanita di tempat kerja, kata Nancy

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri berkata akta itu dan tribunalnya meningkatkan rasa selamat serta adil kepada wanita di tempat kerja.

Interview Menteri Pembangunan Wanita,Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri
Nancy Shukri berkata wanita perlu digalakkan merebut peluang di luar tempat kerja tradisional, termasuk kerja dari jauh dan pilihan pekerjaan fleksibel.
PETALING JAYA:
Akta Antigangguan Seksual 2022 memberi lebih keyakinan dan keselamatan kepada wanita di tempat kerja, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri.

Dalam temu bual eksklusif bersama FMT, Nancy berkata, tribunal yang ditubuhkan di bawah akta itu menggalakkan ramai wanita tampil kerana ia menyediakan platform alternatif untuk mereka menangani masalah dengan cepat dan cara mudah pada kos minimum.

“Sesetengah wanita merasakan persekitaran kerja mereka tidak kondusif disebabkan gangguan seksual dan cabaran lain.

“Tetapi, apabila akta itu diperkenalkan, beberapa lelaki bahkan memberitahu saya, ‘Terima kasih, wanita kami berasa lebih yakin’.”

Diluluskan Dewan Negara pada 11 Ogos 2022, akta itu memberi hak untuk mendapatkan ganti rugi bagi individu pernah mengalami gangguan seksual, sama ada di tempat kerja atau persekitaran lain.

Ia turut menubuhkan Tribunal Antigangguan Seksual yang boleh memutuskan pampasan sehingga RM250,000 dan merangkumi pelbagai bentuk gangguan seksual, termasuk lisan, bukan lisan, visual, isyarat dan tingkah laku fizikal yang menyinggung perasaan atau memalukan.

Akta itu melengkapkan perlindungan sedia ada di bawah Akta Pekerjaan 1955 dan Akta Perhubungan Perusahaan 1967, yang hanya meliputi gangguan di tempat kerja.

Di luar tempat kerja tradisional

Nancy berkata, wanita kini mempunyai lebih banyak peluang melangkaui tempat kerja tradisional, termasuk kerja dari jauh dan pilihan pekerjaan fleksibel, yang perlu digalakkan.

Menurutnya, wanita tidak patut merasa terbeban dengan tanggungjawab menjaga, melakukan kerja rumah atau kewajipan keluarga sehingga menghalang kerjaya mereka.

“Wanita tidak patut menghalang diri daripada bekerja atas kebimbangan ini. Kami tidak mahu wanita merasakan tidak kira betapa tinggi mereka belajar, mereka masih perlu berada di rumah.

“Kita perlu menyokong wanita supaya mereka yakin, di samping mewujudkan lebih banyak peluang untuk mereka.”

Beliau berkata, kerajaan menerusi Belanjawan 2025 memperkenalkan langkah untuk menyokong penyertaan tenaga kerja wanita.

Ini termasuk pengecualian cukai pendapatan sebanyak 50% untuk majikan mengambil wanita kembali bekerja, selain insentif cukai untuk syarikat menyediakan kemudahan cuti penjagaan tambahan bagi meningkatkan keseimbangan kerja-kehidupan.

Menurut Jabatan Perangkaan, daripada 4.8 juta wanita tidak mencari pekerjaan pada 2023, tiga juta atau 60% disebabkan tanggungjawab keluarga atau kerja rumah.

Sebanyak 30% lagi berkata, ia disebabkan persekolahan dan baki 10% melanjutkan pelajaran, kurang upaya, tidak minat bekerja atau sudah bersara.

Majoriti wanita itu memiliki sekurang-kurangnya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau kelayakan setaraf dengannya dan hampir separuh daripadanya mempunyai pengalaman bekerja.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.