
Dalam kejadian kira-kira 3.10 pagi, lelaki berusia 63 tahun itu dilaporkan melepas tembakan ke arah polis yang menahannya untuk pemeriksaan.
Ketua Polis Johor, M Kumar, berkata sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah D9 Jabatan Siasatan Jenayah IPK Johor sedang melakukan rondaan dan mengesan sebuah Honda Vario ditunggang seorang lelaki di Jalan Persiaran Bumi Hijau, Taman Molek dalam keadaan mencurigakan.
“Polis mengekori dan menahan motosikal itu. Ketika hendak turun memeriksa, tiba-tiba suspek melepaskan beberapa das tembakan.
“Anggota polis berbalas tembakan dengan suspek menyebabkan lelaki itu maut di lokasi kejadian,” katanya menurut Berita Harian.
Beliau berkata, polis menemui sepucuk pistol Smith & Wesson di atas jalan dekat suspek bersama empat butir peluru hidup dan dua kelongsong peluru.
Menurutnya, suspek mempunyai 14 rekod jenayah dan dadah, termasuk masing-masing satu rekod di bawah Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Akta Senjata 1960 dan dikehendaki polis.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana melepaskan tembakan daripada senjata api dalam melakukan kesalahan berjadual.”