Sabitan rogol amah: Mahkamah Tinggi tolak keterangan tambahan Paul Yong

Sabitan rogol amah: Mahkamah Tinggi tolak keterangan tambahan Paul Yong

Hakim Mahkamah Tinggi Abdul Wahab Mohamed berkata keterangan pembelaan bersifat 'dengar cakap' dan tidak wajar diterima untuk pertimbangan.

Pada 12 Nov lalu, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan bekas Adun Tronoh, Paul Yong mengemukakan bukti tambahan dalam rayuan terhadap sabitan kes rogol pembantu rumahnya. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Mahkamah Tinggi Ipoh menolak keterangan tambahan pihak pembelaan dalam rayuan sabitan kes rogol bekas Adun Tronoh, Paul Yong Choo Kiong terhadap pembantu rumahnya.

Hakim Mahkamah Tinggi, Abdul Wahab Mohamed membuat keputusan itu selepas mendapati keterangan dikemukakan pembelaan bersifat “dengar cakap” dan tidak wajar diterima untuk pertimbangan.

“Dalam keadaan ini, mahkamah ini mengekalkan keputusan terdahulu bahawa tiada keraguan munasabah berjaya ditimbulkan pembelaan dan dengan itu sabitan patut dikekalkan,” kata hakim.

Beliau berkata, bukti tambahan berbentuk penyataan bertulis didakwa dibuat atas arahan serta ditandatangani mangsa berusia 24 tahun itu menimbulkan keraguan, antaranya dari sudut bentuk, sekali gus keaslian tandatangan mangsa.

Mahkamah turut melihat beberapa perkara lain, antaranya penyataan itu dilihat bercanggah keterangan awal mangsa sewaktu kes itu dibicarakan di peringkat awal.

“Mangsa ketika itu menafikan dia membuat laporan dirogol, antaranya kerana mahu pulang ke Indonesia sebelum kontrak kerja sebagai pembantu rumah kepada tertuduh tamat, namun penyataan bertulis itu menyatakan sebaliknya.

“Selain itu, mahkamah berpandangan alasan pihak pembelaan bahawa mangsa sendiri tidak dapat hadir ke mahkamah kerana faktor perbelanjaan dan mengalami kesukaran dibawa dari Sumbawa, Indonesia tidak boleh diterima pakai serta tidak munasabah.”

“Dalam keadaan tiada usaha bersungguh-sungguh (membawa mangsa menghadiri perbicaraan di Malaysia) dengan alasan seperti takut ditangkap, tidak boleh diterima, maka tidak boleh dibuat sebarang kesimpulan.

“Oleh demikian, mahkamah ini mendapati keterangan tambahan itu adalah keterangan dengar cakap dan pada masa sama tidak digariskan bawah Seksyen 32(1) Akta Keterangan 1950,” katanya menurut Berita Harian.

Dalam prosiding hampir sejam hari ini, pasukan pembelaan diwakili Rajpal Singh dan Salim Bashir, manakala pihak pendakwaan diwakili Pengarah Pendakwaan Perak, Muhammad Zaki Abdul Kudos bersama Timbalan Pendakwa Raya, Nasrul Hadi Abdul Ghani dan Qurratu’aini Khalifah.

Pada 12 Nov lalu, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan Yong untuk mengemukakan bukti tambahan dalam rayuan terhadap sabitan itu.

Mahkamah Tinggi Ipoh diarahkan Mahkamah Persekutuan untuk menerima dan mengesahkan dokumen serta bukti tambahan, termasuk keterangan saksi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.