Priscella ambil alih kemudi KDM

Priscella ambil alih kemudi KDM

Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat angkat Priscella Peter selepas mahkamah Selasa lalu perintah Peter Anthony jalani hukuman penjara.

Priscella Peter n Wetrom Bahanda
Priscella Peter (duduk, empat dari kiri) bersama pimpinan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat pada sidang media hari ini.
PETALING JAYA:
Timbalan presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) akan menjalankan tugas presiden parti selepas mahkamah memerintahkan Presiden Peter Anthony menjalani hukuman penjara tiga tahun bermula 4 Mac.

Setiausaha Agung KDM, Willie Jude, mengumumkan pimpinan tertinggi parti sebulat suara mengangkat Priscella Peter dalam mesyuarat hari ini.

Priscella akan dibantu seorang lagi timbalan presiden parti, Wetrom Bahanda, dalam menjalankan tugasnya.

“Keputusan ini dibuat sebulat suara dan dengan penuh permuafakatan, kerana kami sebenarnya sudah membuat perancangan awal sekiranya apa-apa berlaku termasuk hal yang berkaitan dengan kes presiden.

“Ianya juga sesuai dengan peranan Priscella sebagai salah sorang pengasas parti dan Wetrom juga menyokong penuh keputusan ini, malah beliau sendiri yang mencadangkan,” menurut kenyataan.

Perkembangan ini turut mengambil kira PRN Sabah akan datang.

Priscella, 27, merupakan graduan dari Universiti Curtain Australia dengan kelulusan Ijazah Sarjana (Master) dalam bidang perakaunan.

Pada 4 Mac lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM50,000 ke atas Peter, kerana memalsukan dokumen berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS), 11 tahun lepas.

Pada 19 April 2023, Peter memfailkan rayuan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 26 Mei 2022.

Mengulas perkara lain, Willie memaklumkan KDM akan bertanding solo pada PRN17 dan menambah segala perancangan yang dibuat oleh Peter akan diteruskan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.