Pemimpin parti tempatan Sabah keliru, plagiat konsep Sarawak, dakwa Kiandee

Pemimpin parti tempatan Sabah keliru, plagiat konsep Sarawak, dakwa Kiandee

Ketua PN Sabah Ronald Kiandee dakwa ada antara pemimpin tempatan 'graduan' daripada parti nasional atau kebangsaan.

Ronald Kiandee yakin rakyat Sabah lebih memilih tawaran untuk menguruskan negeri itu berbanding konsep atau sentimen tempatan.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Perikatan Nasional (PN) mendakwa konsep parti tempatan di Sabah hanya dicedok atau diplagiat dari Sarawak yang akhirnya mengelirukan pemimpinnya sendiri kerana tidak memahami latar politik.

Menghormati hak terbabit, Ketua PN Sabah, Ronald Kiandee, berkata kali terakhir negeri itu diperintah parti tempatan adalah oleh Parti Bersatu Sabah (PBS) diketuai Joseph Pairin Kitingan dari 1985 hingga 1994.

Namun, menurut Ahli Parlimen Beluran, selepas itu Sabah ditadbir komponen termasuk daripada parti nasional seperti Umno, PN dan Pakatan Harapan (PH), berbeza dengan Sarawak yang sejak dahulu ditadbir parti tempatan.

“Mereka cuma hendak plagiat Sarawak tetapi tidak belajar latar belakang politik negeri itu yang ditadbir parti tempatan dari dahulu.

“Tetapi biarlah rakyat yang menentukan…ada pemimpin bercakap soal konsep parti tempatan pun sebenarnya ‘graduan’ daripada parti nasional atau kebangsaan,” katanya dalam temu bual bersama FMT.

Beliau mengulas sama ada PN yang semua komponennya berasaskan parti kebangsaan mampu menandingi sentimen tempatan didakwa dikuasai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRN tahun ini.

PN sebelum ini mempunyai parti tempatan iaitu Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) serta Parti Maju Sabah (SAPP) yang bagaimanapun mengisyitiharkan keluar gabungan tersebut.

Kiandee yang juga naib presiden Bersatu menegaskan, PN tidak bimbang dengan penyebaran sentimen tempatan itu kerana yakin pengundi Sabah lebih memilih kandungan tawaran berbanding konsep.

“Mereka hanya jual konsep (semangat tempatan), tetapi bagi saya Sabah perlu dipimpin pemimpin tahu mengurus masalah dan mengangkat martabatnya.

“Itu perkara penting bukan konsep tetapi kandungan…sebab itu saya cakap orang Sabah telah matang dan pragmatik,” katanya mendakwa ada pemimpin parti tempatan sendiri keliru dengan perjuangan terbabit.

Insiden palui tak jejas sokongan

Dalam pada itu, Kiandee mendakwa insiden ‘palui’ membabitkan Timbalan Presiden Bersatu Hamzah Zainudin yang dikatakan menyebut perkataan berkenaan, Januari lalu tidak akan memberi kesan kepada peluang PN pada PRN.

Dakwanya, perkataan itu tidak pernah ditujukan kepada orang Sabah tetapi kepada kegagalan kerajaan negeri menangani tiga isu utama di Sabah iaitu jalan raya tidak kondusif selain kekerapan gangguan bekalan air dan elektrik.

“Selain isu kos sara hidup dan kemiskinan, itu tiga masalah nyata yang kerajaan sekarang tak boleh nafikan,” katanya.

Pada Oktober 2023, Ketua Menteri Hajiji Noor berkata kerajaan Sabah akan memastikan gangguan bekalan air dan elektrik dapat diselesaikan dalam tempoh dua hingga tiga tahun ini menerusi langkah untuk menambah kapasiti bekalan.

Bagi meningkatkan bekalan air, kerajaan Sabah membina Loji Rawatan Air (LRA) Telibong II di Tamparuli dan Kogopon.

Awal bulan ini, Timbalan Ketua Menteri Sabah Shahelmey Yahya berkata penyambungan haram oleh pihak tidak bertanggungjawab antara unsur sabotaj dikenal pasti penyumbang kepada masalah bekalan air negeri itu.

Bagi menyelesaikan gangguan bekalan elektrik, antara usaha diambil ialah pembinaan loji jana kuasa hidroelektrik dan empangan di Ulu Padas, Tenom.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.