2 remaja maut, 3 parah kereta rempuh penghadang

2 remaja maut, 3 parah kereta rempuh penghadang

Dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi manakala tiga lagi dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk rawatan.

Dua maut, tiga parah kereta terbabas langgar penghadang jalan
Perodua Myvi yang dinaiki remuk menyebabkan mangsa tersepit selepas kenderaan itu hilang kawalan dan terbabas merempuh penghadang jalan.
PETALING JAYA:
Dua remaja maut manakala tiga lagi parah selepas Perodua Myvi dinaiki hilang kawalan dan terbabas merempuh penghadang jalan dalam kejadian di Tanjung Bendahara, Alor Setar malam tadi.

Difahamkan, semua mangsa berusia 18 tahun dan dipercayai lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja, Wan Azizul Hakim Wan Jaafar, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 10.28 malam.

Beliau berkata, pihaknya menghantar sepasukan anggota dari BBP Jalan Raja ke lokasi bersama lapan anggota.

“Sebaik tiba di lokasi, didapati kemalangan membabitkan sebuah kereta Perodua Myvi.

“Ia dinaiki lima remaja lelaki yang dipercayai hilang kawalan dan terbabas melanggar penghadang jalan.

“Tindakan awal di lokasi ialah dengan mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan peralatan khas,” katanya dalam satu kenyataan, menurut Harian Metro.

Tambahnya lagi, dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi kemalangan manakala tiga lagi mangsa yang parah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk rawatan lanjut.

“Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.